suria

PRK Pmtg Pauh: BN Lancar Manifesto

Naib Presiden UMNO yang juga Pengarah Pilihanraya Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama calon BN Suhaimi Sabudin (tiga kanan) melancarkan Manifesto BN untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P44 Permatang Pauh di Pusat Gerakan BN di Bandar Perda, Permatang Pauh pada Khamis.

BUKIT MERTAJAM: Barisan Nasional (BN) pada Khamis melancarkan manifestonya yang mengandungi enam bidang utama jika memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh 7 Mei ini.

Pengarah PRK BN Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu yakin dapat melaksanakan 'akujanji' tersebut dalam tempoh tiga tahun pertama jika diberikan peluang.

"Enam bidang menjadi fokus dan tumpuan utama kita. Kami janji akan ia akan diterjemahkan dalam masa tiga tahun pertama...beri kami peluang.

"Akujanji ini dibuat berdasarkan kajian mengenai keperluan penduduk dan pengundi Permatang Pauh serta berdasarkan kemampuan kita.

"Ia juga bersandarkan kepada trek rekod BN melaksanakan janji-janji sebelum ini, bukan janji kosong," katanya pada sidang media selepas melancarkan manifesto BN di Pusat Operasi parti itu di Bandar Perda pada Khamis.

Hadir sama dalam majlis pelancaran itu ialah calon BN, Suhaimi Sabudin; Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel dan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong.

'Akujanji' BN itu merangkumi bidang ekonomi, kebajikan, pendidikan, perumahan, komuniti dan keselamatan.

Diminta mengulas mengenai manifesto Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang masih belum dilancarkan, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata: "Mereka boleh lancar, tapi jangan tipu rakyat."

Manifesto BN bertemakan 'Melakar Sejarah Baharu' itu merangkumi:

EKONOMI

○ Menyediakan kemudahan Mikro Kredit Khas Parlimen Permatang Pauh untuk peniaga-peniaga kecil

○ Menubuhkan Pusat Penjanaan Usahawan Kecil dan Sederhana untuk mempertingkatkan jumlah penglibatan belia dalam bidang keusahawanan

○ Mengusahakan peluang-peluang pekerjaan baru bagi golongan belia

PENDIDIKAN

○ Mengusahakan terbinanya sebuah Sekolah Menengah Agama Berasrama Penuh di kawasan Parlimen Permatang Pauh.

○ Membantu pihak Sekolah, Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan dalam melahirkan lebih ramai pelajar-pelajar yang cemerlang.

KESIHATAN

○ Meningkatkan keupayaan Hospital Seberang Jaya, pembesaran dan peningkatan fasiliti perubatan dan kesihatan.

○ Menambahkan bilangan Klinik 1 Malaysia di kawasan Parlimen Permatang Pauh.

PROGRAM KESEJAHTERAAN RAKYAT LUAR BANDAR

○ Mengusahakan pembukaan Kedai Rakyat 1 Malaysia dan Kedai Agro Rakyat 1 Malaysia.

○ Membina Projek Perumahan untuk Rakyat Termiskin (PPRT).

○ Memastikan Penyaluran Bantuan Kebajikan berterusan kepada golongan yang memerlukan termasuk Program Baik Pulih Rumah bagi golongan berpendapatan rendah.

○ Mewujudkan Mini Rural Transformation Centre (RTC) di kawasan DUN Permatang Pasir.

○ Mempertingkatkan kemudahan infa-struktur kawasan luar bandar.

PEMBANGUNAN KOMUNITI

○ Menambah bilangan Pusat Asuhan Kanak-kanak dan Tadika KEMAS dan Jabatan Perpaduan di Taman-taman Perumahan.

○ Mengusahakan bantuan untuk Masjid, Surau dan Rumah-rumah Ibadat Semua Agama.

○ Mengusahakan naik taraf dan penyelenggaraan kemudahan-kemudahan awam di taman-taman perumahan.

○ Mengusahakan peruntukan di bawah Program Tabung Penyelenggaraan 1 Malaysia ( TP1M ) bagi tujuan penyelenggaran perumahan pangsapuri Kos Rendah dan Kos Sederhana Rendah yang memerlukan.

○ Mengusahakan pembinaan Gelanggang Sukan Komuniti di setiap kawasan DUN sebagai pusat kegiatan riadah dan sukan bagi golongan belia.

○ Memupuk semangat perpaduan dan saling hormat menghormati di kalangan masyarakat.

KESELAMATAN

○  Menubuhkan Community Policing di setiap kawasan perumahan.

○ Menggalakkan penyertaan masyarakat bagi meramaikan anggota RELA.

○ Memperbesarkan jumlah keanggotaan  Jabatan Pertahanan Awam Malaysia  (JPAM).

○ Menambahkan pasukan Unit Ronda Bermotosikal (URB) di seluruh kawasan Parlimen Permatang Pauh.

○ Menambahkan kekerapan omnipresence pasukan Polis DiRaja Malaysia di kawasan-kawasan "hotspot".

BN, Manifesto, Permatang Pauh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain