suria

Empat Termasuk Wanita Indonesia Aktif Samun Diberkas

SHAH ALAM: Tiga lelaki dan seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai aktif melakukan samun di sekitar Ampang, diberkas dalam tiga serbuan berasingan, awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata suspek berumur antara 27 dan 40 tahun itu ditahan di sekitar Ampang dan Kuala Lumpur.

"Tangkapan pertama ialah seorang lelaki berumur 35 tahun yang ditahan di sebuah rumah di Taman Permata, Ampang pada 2 April lepas kira-kira 11.40 malam.

"Soal siasat ke atas suspek pertama membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 27 tahun di tepi jalan berhadapan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil kira-kira 3.35 petang pada 7 April lepas," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata berikutan penahanan suspek pertama dan kedua itu, polis kemudian memberkas dua lagi suspek iaitu seorang lelaki dan wanita, kedua-duanya warga Indonesia berumur 36 dan 40 tahun dalam satu serbuan di sebuah rumah di bandar Damai Perdana, Kuala Lumpur.

Mohd Adnan berkata kedua-dua suspek warga Indonesia itu ditahan pada 8 April pada 5.35 petang dan siasatan mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata susulan penahanan empat individu berkenaan pihaknya berjaya menemui semula pelbagai hasil kegiatan pecah rumah dan samun antaranya komputer riba, jam tangan serta telefon bimbit berjenama kesemuanya dianggarkan bernilai hampir RM200,000.

"Polis percaya dengan penahan mereka dan penemuan barangan berkenaan dapat menyelesaikan sekurang-kuranganya 10 kes pecah rumah di sekitar Ampang termasuk dua kes pada November dan Januari lepas di Taman Saga dan Jalan Changkat Ukay Villa, Sri Ukay, Hulu Kelang.

"Suspek dilaporkan bertopeng dan bersarung tangan ketika melakukan kegiatan jenayah ini selain menggunakan senjata tajam bagi tujuan mengugut mangsa supaya mangsa menyerahkan barang berharga milik mereka," katanya.

Tambah Mohd Adnan, kesemua suspek direman sehingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain