suria

Caj Perkhidmatan: KPDNKK Bertemu Persatuan Hotel, Pemilik Restoran Minggu Ini

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengadakan perjumpaan dengan persatuan hotel dan pemilik restoran minggu ini berhubung semakan semula caj perkhidmatan.

Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Alias Ahmad berkata perjumpaan tersebut perlu memandangkan terdapat beberapa kekangan berikutan implikasi perundangan yang melibatkan perjanjian kolektif yang dimeterai antara majikan dan pekerja.

Beliau berkata hasil kajian kementerian dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati para pengguna menolak seratus peratus caj perkhidmatan itu.

"Isu ini bukanlah begitu rumit tetapi ia melibatkan Perjanjian Bersama (Collective Agreement) dan Akta Industri.

Oleh itu, kita perlukan sedikit masa untuk mengeluarkan definisi semua caj yang dikenakan secara terperinci," katanya dalam sidang media mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di sini, Selasa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek dilaporkan berkata semalam satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji dan menyemak semula caj perkhidmatan sebanyak lima hingga 10 peratus yang dikenakan pihak hotel serta restoran kepada pengguna dan keputusannya dijangka diketahui menjelang akhir bulan ini.

Jawatankuasa itu juga telah berjumpa dengan para pegawai daripada industri perhotelan dan penyediaan makanan dan minuman untuk mendapatkan maklum balas mengenai isu ini.

Sementara satu keputusan dicapai, Alias berkata pihak pengurusan hotel dan restoran telah diarah mempamerkan notis memaparkan caj perkhidmatan masing-masing bagi kemudahan pengguna.

Sehubungan itu, katanya, sebanyak 646 pemeriksaan melibatkan 259 hotel dan 387 restoran telah dilakukan berkaitan caj perkhidmatan bermula 8 April sehingga semalam.

Daripada pemeriksaan itu, sebanyak 57 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan kepada tujuh hotel dan 50 restoran yang mengenakan caj perkhidmatan tanpa perjanjian bersama.

Sejak GST dilaksanakan pada 1 April sehingga semalam, Alias berkata jumlah kumulatif panggilan berkaitan anti pencatutan yang diterima adalah sebanyak 4,609 panggilan dan 88,6000 premis telah diperiksa.

CBP, GST

Artikel Lain