suria

PM Setuju Anugerah Status Autonomi Kepada Semua Kampus UiTM

Najib merasmikan TP1B sempena Majlis Malam Sumbangsih Perdana Alumni UiTM di Kuala Lumpur, malam Sabtu. Turut kelihatan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh (dua, kanan), Pengerusi TP1B Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin (dua, kiri) dan Presiden Persatuan Alumni UiTM Datuk Mohd Zaini Hassan (kiri). -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu bersetuju menganugerahkan status autonomi kepada setiap kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi memastikan urus tadbir universiti yang lebih berkesan.

Beliau berkata status autonomi itu akan membolehkan pemindahan kuasa (empowerment) atau 'delegations of authorities' kepada rektor. 

"Bila dah sampai 200,000 lebih (pelajar), perlu ada struktur urus tadbir yang boleh menentukan bahawa pentadbiran UiTM boleh ditadbir dengan berkesan bagi berkemampuan untuk mengendalikan institusi yang besar.

"Kekalkan UiTM dalam bentuk sedia ada tapi (dengan autonomi) beri kuasa yang lebih kepada rektor-rektor yang kendalikan setiap kampus UiTM," katanya ketika melancarkan Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) anjuran Persatuan Alumni UiTM Malaysia di sini, malam Sabtu.

Najib berkata beliau melihat perkembangan kampus UiTM kini sudah menyeluruh di setiap negeri.
 
Najib berkata konsep autonomi adalah yang paling sesuai bagi mengekalkan UiTM sebagai institusi keramat Bumiputera. 

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata beliau tidak boleh berkompromi untuk menukar konsep UiTM sedia ada, sebab itulah walaupun autonomi dilaksanakan, struktur asal UiTM mesti kekal. 

Mengenai TP1B, beliau berkata dengan penubuhannya, UiTM kini menjadi pelopor kepada budaya endowment (memberi balik) di negara ini.

Beliau berkata walaupun Malaysia merupakan sebuah negara yang menyediakan peruntukan tertinggi bagi pendidikan, namun ia tidak boleh dianggap sebagai mapan. 

"Kena cari punca lain...antaranya diperolehi daripada endowment dan di sinilah peranan dimainkan TP1B, dalam bentuk endowment.

"Tradisi endowment dah berkembang tapi belum bertapak kukuh di Malaysia.
Malam ini UiTM jadi pelopor kepada budaya endowment," kata Najib. 

TP1B diilhamkan oleh Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh pada 2014, bagi mengutip RM1 bilion daripada para alumni UiTM bertujuan untuk antaranya memberi biasiswa, bantuan kebajikan, penambahbaikan fakulti, menaja penyelidikan dan pembangunan.

Lembaga pemegang amanah TP1B kemudiannya ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan dianggotai kalangan alumni UiTM yang berjaya dalam bidang masing-masing antaranya Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcomaxiata Bhd Datuk Seri Shazally Ramly. 

Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Idris, Lodin dan Naib Canselor UiTM Tan Sri Prof Ir Sahol Hamid Abu Bakar.
UiTM, TP1B, status autonomi

Artikel Lain