suria

Penduduk Rompin Mahukan Calon Yang Tepat Untuk Teruskan Legasi JJ

Jamaluddin meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas helikopter di Semenyih, Sabtu lalu.

ROMPIN: Penduduk di kawasan Parlimen Rompin mahu pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) memilih seorang calon yang tepat dan berkredibiliti untuk meneruskan legasi Anggota Parlimennya sebelum ini, Tan Sri Jamaluddin Jarjis.

Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahusain berkata, tinjauan awal yang dilakukan mendapati kebanyakan pengundi termasuk akar umbi parti bersedia menerima calon daripada golongan muda selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu meremajakan parti.

"Pemilihan calon adalah hak Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi BN negeri, tetapi biarlah calon yang dipilih itu mempunyai ketokohan, disenangi dan dikenali rakyat.

"Yang paling penting, calon itu dapat diterima rakyat untuk memudahkan jentera parti bekerja dalam pilihan raya kecil itu nanti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di sini, Khamis yang turut dihadiri Ketua Penerangan Umno Rompin Datuk Jalaluddin Mohamed Deli.

Wan Kadri yang juga Setiausaha Umno bahagian berkata, Umno Rompin mempunyai ramai calon berkelayakan yang boleh diketengahkan dalam pilihan raya kecil itu untuk memastikan kemenangan BN.

Sehubungan itu juga, katanya, satu mesyuarat khas Umno bahagian juga akan diadakan Ahad ini bagi membincangkan persiapan jentera parti selain menyenarai pendek nama calon.

Mesyuarat itu dijangka dipengerusikan Timbalan Ketua Umno Bahagian Rompin, Datuk Hasan Ariffin yang dilantik menjadi Pemangku Ketua Umno Bahagian berkuat kuasa pada hari tersebut.

Mengulas mengenai persiapan awal jentera parti, Wan Kadri berkata, jentera Umno bahagian sentiasa bersedia dengan sayap Wanita dan Puteri kerap mengadakan pertemuan dengan pengundi sebelum ini.

Sehubungan itu, katanya, beliau percaya BN tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan kemenangan di kawasan Parlimen Rompin yang disandang enam penggal berturut-turut oleh Allahyarham Jamaluddin sebelum ini.

Jamaluddin meninggal dunia selepas helikopter yang dinaikinya bersama lima lagi mangsa terhempas di Semenyih, Selangor, petang Sabtu lalu.

Beliau menjadi Anggota Parlimen Rompin sejak tahun 1990 dan menang pada pilihan raya umum pada tahun 2013 setelah menewaskan calon PAS, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.-- Bernama




Artikel Lain