suria

Dr Wan Azizah Bukan Lagi Calon Popular - Umno Permatang Pauh

Mohd Zaidi Mohd Said.

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) menyifatkan kesediaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh akan membawa padah kepada Pakatan Rakyat terutama PKR kerana beliau bukan lagi calon popular.

Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, situasi itu bagaimanapun dianggap suatu kelebihan buat Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil itu kerana ia membuktikan isteri ketua pembangkang itu hanya mementingkan karier politiknya.

"Berdasarkan suasana di Permatang Pauh, orang PKR, PAS sendiri bercakap mengenai apa yang Wan Azizah lakukan dahulu. Dia lepaskan jawatan untuk memberi laluan kepada suaminya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk bertanding sebelum bertanding di Kajang.

"Jadi (keputusan untuk bertanding) nampak lebih kepada kepentingan peribadinya. Saya lihat BN lebih beruntung kerana beliau bukan calon popular di Permatang Pauh ketika ini," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Beliau berkata, sokongan rakyat terhadap Dr Wan Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang itu juga dilihat semakin menurun berdasarkan sambutan terhadap beberapa program yang diadakannya di Permatang Pauh.

"Program beliau di Permatang Pauh dah tak ada sambutan. Perubahan dari segi sokongan itu nampak ketara. Malah ada kepimpinan PKR sendiri yang tidak yakin beliau akan dicalonkan kerana keputusan tersebut hanya akan memberi masalah kepada pimpinan parti itu," katanya.

Pada Khamis, Dr Wan Azizah membayangkan beliau mungkin akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh. 

"Parti akan menentukan dan kami perlu mengadakan beberapa siri mesyuarat. Sekiranya nama saya dipilih sebagai calon, saya bertanding sekali lagi," kata Dr Wan Azizah.

Rabu lalu, kerusi Parlimen Permatang Pauh diisytihar kosong selepas permohonan keluarga Anwar untuk mendapatkan pengampunan diraja buatnya selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan ditolak.

Dr Wan Azizah pernah bertanding di kerusi sama dan memenanginya pada 1999 selepas Anwar dipenjarakan atas kesalahan sama. 

Beliau menjadi Ahli Parlimen kawasan tersebut selama dua penggal dan meletakkan jawatan untuk  memberikan laluan kepada Anwar yang ketika itu baharu sahaja dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara lima tahun. 

Ketika ditanya sama ada BN perlu bertanding atau tidak di saat rakyat mula mempertikaikan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Mohd Zaidi menegaskan BN harus meletakkan calon di kerusi Parlimen tersebut.

"Dalam keadaan macam manapun BN perlu bertanding. Kalau BN tak bertanding seolah-olah kita mengiyakan GST itu tak baik. Jadi tiada sebab kita tak bertanding disebabkan perkara ini," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini tiga nama telah dicadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan sebagai calon terbaik BN untuk PRK Permatang Pauh.

"Saya dah bagi segala maklumat kepada PM mengenai beberapa calon yang dianggap layak. Ada dua tiga calon yang dirasakan sesuai tapi segalanya terpulang kepada beliau untuk buat keputusan," katanya.

Artikel Lain