suria

Mahkamah Ketepi Pembebasan Trio Bagi Kesalahan Cederakan Petinju

Trio kes mencederakan petinju kebangsaan ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Baru pada Jun 2013 apabila dijatuhi hukuman penjara empat tahun.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Jumaat mengetepikan pembebasan seorang kerabat diraja dan dua lagi atas pertuduhan sengaja mencederakan petinju kebangsaan Muhammad Farkha Mohd Haron, tiga tahun lepas.

Panel hakim tiga anggota dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwa raya berhubung pembebasan Tunku Nick Tazuddin Izwan Syah Tunku Qadir, 30, Alex Foo Hee Wee, 44, dan Mohd Arif Husin, 38.

Ketiga-tiga mereka, masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Baharu pada 28 Jun, 2013, selepas mereka didapati bersalah secara bersama-sama melakukan kesalahan itu di Jalan Molek 3/2, Taman Molek, Johor Baharu, antara 4.30 pagi dan 7 pagi pada 6 Mei 2012.

Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan trio itu susulan rayuan. Mahkamah Rayuan hari ini mengubah perintah Mahkamah Tinggi itu.

Hakim Md Raus, yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Datuk Ahmadi Asnawi bagi mendengar rayuan itu, kemudian merujukkan semula kes itu ke Mahkamah Tinggi Johor Baharu bagi mendengar merit rayuan itu.

"Kami membenarkan rayuan; kami mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan responden-responden atas pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

"Oleh kerana merit rayuan bagi sabitan responden-responden di bawah Seksyen  325 tidak diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, kami merujukkan semula kes ke Mahkamah Tinggi untuk didengar meritnya di hadapan hakim lain," kata Hakim Md Raus.

Beliau menetapkan Isnin bagi sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi Johor Baru.

Awalnya, ketiga-tiga mereka dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan dengan senjata tumpul yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Bagaimana, selepas mendengar pembelaan mereka, Mahkamah Sesyen meminda pertuduhan itu mengikut Seksyen 325 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun, dengan pesalah juga boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah Tinggi membebaskan trio itu selepas pihak pembelaan berhujah bahawa pertuduhan pindaan itu tidak disediakan draf dan dibacakan kepada mereka.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah manakala peguam Mohd Isa Mohd Bashir mewakili Tunku Nick, Foo dan Mohd Arif.

Artikel Lain