suria

Presiden PRS Pertahan Najib

James Masing

KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) sekali lagi tampil untuk mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas dikritik Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menerusi kenyataannya pada Khamis, Presiden PRS, Tan Sri James Masing menamakan Najib sebagai "satu-satunya (Perdana Menteri) yang prihatin kepada kebajikan Sarawak dan Sabah".

Masing berkata,  perdana menteri terdahulu yang tidak 'ambil kisah' mengenai rakyat Malaysia di kedua-dua negeri di Borneo itu.

Pertama sekali, Najib mengiktiraf 16 September sebagai Hari Malaysia yang dianggapnya sebagai tarikh yang dekat kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

"Kedua, Najib memperuntukkan sejumlah pembiayaan untuk pembinaan Lebuh raya Pan Borneo, manakala perdana menteri lain, termasuk Mahathir tidak kisah hal itu.

"Malahan, pentadbiran terdahulu, lebuh raya dibina di Malaysia dan projek mega seperti Menara Berkembar Petronas, dua jambatan di Pulau Pinang dan cadangan pembinaan jambatan bengkok antara Johor dan Singapura, selain banyak sekolah dan hospital. Bagaimanapun, kawasan pedalaman di Sarawak dan Sabah tidak dihiraukan.

"Saya yakin Barisan Nasional (BN) dengan Najib sebagai perdana menteri akan terus mentadbir negara ini selepas Pilihan Raya Umum ke-14. Adalah lebih mudah jika Umno kekal bersatu kerana rumah yang berpecah sukar untuk dipertahankan.

"Jangan pecah belah atau membiarkan ia retak," katanya.

Pemimpin PRS yang mempunyai enam Ahli Parlimen itu juga berterima kasih kepada Najib kerana mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian Malaysia.

Kenyataan Masing itu dikeluarkan selepas Dr Mahathir menerusi blognya, chedet.cc meminta ahli Umno tidak menjadi pengikut membuta tuli kerana mendakwa Najib gagal menjelaskan pelbagai dakwaan terhadapnya hingga menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadapnya.

Pada 17 Mac, Masing turut mengeluarkan kenyataan mempertahankan Najib, juga susulan kritikan Dr Mahathir.

Kata Masing lagi, Dr Mahathir diberi tempoh 22 tahun untuk mentadbir Malaysia dan telah melaksanakan tugas dengan cemerlang walaupun pelbagai kritikan dilemparkan terhadap pentadbirannya.

"Berikan masa untuk Najib buktikan keupayaannya, jangan terlalu awal campur tangan," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain