suria

Pelaksanaan CBP Harus, Turut Dilaksanakan Di Negara-Negara Islam - Hasan Malek

Datuk Seri Hasan Malek
PUTRAJAYA: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) adalah harus dan ia terbukti berjaya di 169 buah negara, termasuk negara-negara Islam, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.

Beliau berkata keputusan sudah dibuat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-106 yang bersidang pada Oktober tahun lalu yang memutuskan hukum pelaksanaan CBP adalah harus.

"Saya tidak melihat sebarang alasan CBP haram. Majlis Fatwa Kebangsaan telah membuat keputusan. Jadi kita akan meneruskan pelaksanaan CBP," katanya pada sidang media selepas pelancaran Sim Kad Rakyat 1Malaysia (SR1M) di sini Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali daripada PAS yang dilaporkan mencabar fatwa yang mengharuskan tindakan kerajaan melaksanakan CBP.

CBP bakal dilaksanakan pada 1 April ini pada kadar enam peratus bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

Kini terdapat 169 daripada 193 buah negara yang melaksanakan CBP termasuk Indonesia, Singapura, China, India, Iran, Jepun, Jordan, Jerman dan Perancis.

Hasan mempersoalkan mengapa isu CBP haram bagi orang Islam ditimbul ketika pelaksanaannya semakin menghampiri.

"Kenapa ketika perbahasan di Parlimen isu (CBP haram) tidak timbul.

"Pelaksanaan CBP telah dibincang, dibahas dan lulus di Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan ia telah diwartakan. Maknanya tak ada masalah untuk melaksanakan CBP, katanya.

Hasan yakin bahawa pelaksanan CBP adalah untuk kesejahteraan rakyat dan kutipan cukai adalah untuk tujuan pembangunan, khususnya di luar bandar.

Artikel Lain