suria

Wanita Aktif NGO Hasrat Tanding PRK Chempaka

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof menunjukkan lokasi DUN Chempaka pada PRK yang akan berlangsung 22 Mac ini.

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang bergiat aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhasrat bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kelantan pada 22 Mac ini.

Yang Dipertua Kelab Bumi Rahmat Kelantan, Fadzillah Hussin, berikrar memberi tumpuan kepada perpaduan dan kesatuan masyarakat Melayu di kawasan itu selain menyatupadukan semula masyarakat Melayu di Kelantan.

"Saya akan menumpukan kepada perpaduan ummah dengan menyatukan kembali orang Melayu di Kelantan, yang saya lihat berpecah belah antara PAS dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Fadzillah, 55, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia turut bertekad menjaga adat warisan Melayu serta dasar-dasar kerajaan dan bukan hanya mahu mencapai kepentingan peribadi dalam politik semata-mata.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Seminar Institusi Raja (Siraj) III: Pemerintahan Diraja Dalam Manuskrip Melayu di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, Khamis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK Dun Chempaka 22 Mac depan manakala penamaan calon 10 Mac.

Kerusi Dun Chempaka kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada 12 Februari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Nik Abdul Aziz yang merupakan Mursyidul Am PAS menang di kerusi Dun Chempaka dengan majoriti 6,500 undi.

Bekas menteri besar Kelantan itu mendapat 12,310 undi manakala calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak memperoleh 5,810 undi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain