suria

Robert Kuok Kekal Individu Terkaya di Malaysia - Forbes

Robert Kuok.
SINGAPURA: Tan Sri Robert Kuok dan beberapa hartawan perniagaan tempatan mengekalkan kedudukan masing-masing dalam Senarai Individu  Terkaya Malaysia anjuran Forbes, biarpun kekayaan mereka terbukti terjejas akibat penurunan harga minyak dan ringgit.

Kuok, 91, yang menjalankan perniagaan termasuk minyak sawit, gula, hartanah dan perhotelan, terus mengungguli kedudukan teratas bagi tahun ke-10 berturut-turut.

Kekayaannya, bagaimanapun, susut US$200 juta kepada US$11.3 bilion.

Menurut Forbes, Kuok Group menguasai beberapa syarikat yang tersenarai di  Hong Kong, Malaysia serta Singapura. 

Kedudukan seterusnya disandang Ananda Krishnan dengan kekayaan bernilai  US$9.7 bilion, Tan Sri Quek Leng Chan (US$5.6 bilion), Tan Sri Lim Kok Thay  (US$5.5 bilion), Tan Sri Teh Hong Piow (US$5.4 bilion), Tan Sri Lee Shin Cheng (US$4.6 bilion), Tan Sri Yeoh Tiong Lay (US$3 bilion), Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary (US$2.9 bilion), Goh Peng Ooi (US$1.55 bilion) dan Tan Sri Lee Oi Hian serta Datuk Lee Hau Hian US$1.45 bilion. 

Nilai kekayaan Ananda - taikun telekomunikasi, turut susut sebanyak  US$1.6 bilion kepada US$9.7 bilion, sebahagiannya akibat kejatuhan saham Bumi Armada yang juga syarikat perkhidmatan telaga minyak luar pesisir.

Aset telekomunikasi mewakili separuh kekayaannya menerusi pemilikannya dalam Maxis, kata Forbes.

Tan Sri Quek Leng Chan berganjak ke tempat ketiga daripada keempat sebelum ini, biarpun kekayaannya susut sebanyak US$800 juta bagi tempoh setahun lepas kepada US$5.6 bilion.

Beliau yang memiliki Hong Leong Co, mempunyai kepentingan dalam pelbagai sektor daripada makanan kepada kewangan selain pelaburan dalam sektor minyak dan gas (O and G) serta pegangan dalam firma Indonesia Samudra Energy, syarikat Malaysia Scomi Energy Services, Alam Maritim Resources dan firma Singapura, Ezion yang menjadi pembekal sokongan untuk perkapalan dan telaga minyak.

Senarai terkini Forbes itu turut dibarisi empat muka baharu iaitu taikun hartanah Khoo Cheng Hai di tempat ke-45 dengan nilai kekayaannya US$285 juta selepas sahamnya dalam KSL Holdings berlipat ganda; pakar pembungkusan Lim Teck Meng daripada Scientex (tempat ke-46 dengan kekayaan US$280 juta); hartawan fabrikasi minyak-perkapalan Coastal Contracts Ng Chin Heng (tempat ke-47, US$275 juta) hartawan hartanah dan pengasas bersama United Overseas Australia, Kong Chong Soon (tempat ke-50, US$240 juta).

Taikun kasino Tan Sri Lim Kok Thay daripada Genting Group menduduki tempat keempat dengan kekayaan bernilai US$5.5 bilion, merosot daripada US$6.5 bilion tahun lepas berikutan penyederhanaan ekonomi China yang menjejaskan sektor perjudian dan hiburan rantau ini.

Bagaimanapun, kekayaan yang dimiliki beberapa hartawan yang tersenarai, terjejas teruk terutama mereka yang memiliki pelaburan atau berkaitan sektor minyak.

Tan Sri Mokhzani Mahathir yang juga pelabur dalam firma perkhidmatan minyak dan gas iaitu SapuraKencana Petroleum, turut menyaksikan kekayaannya susut kepada US$700 juta berbanding US$1.2 bilion, tahun lepas. 

Namun, tidak semua hartawan Malaysia berdepan cabaran sedemikian.

Tan Sri Lau Cho Kun yang juga taikun kelahiran Sabah, mencecah status hartawan bertaraf 'bilionaire' dan muncul individu ke-15 terkaya di Malaysia menerusi hasil perladangan dan perdagangan dengan nilai kekayaannya US$1.08 bilion. 


Beliau adalah pemegang saham terbesar dalam Hap Seng Consolidated Bhd. 
Kekayaan taikun perisian, Goh Peng Ooi meningkat kira-kira US$450 juta kepada US$1.55 bilion dan tersenarai ahli perniagaan kesembilan terkaya di Malaysia.

Firma miliknya, Silverlake Axis kini membekalkan perisian kewangan kepada 40 peratus bank di serata Asia Tenggara.

Antara syarat untuk tersenarai tahun ini adalah pemilikan kekayaan minimum  US$240 juta iaitu meningkat daripada US$220 juta.

Senarai penuh boleh diperolehi di www.forbes.com/malaysia dan edisi terbaharu Forbes Asia. 


Artikel Lain