suria

MyEG: Enam Kes Khas Boleh Dibuat Secara Online Tidak Lama Lagi

Kaunter di bahagian pekerja asing di pejabat imigresen. Foto MOHD SAHAR MISNI / THE STAR

PETALING JAYA: Majikan pekerja asing yang berhadapan enam kes khas bagi memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) tidak perlu lagi berurusan di kaunter pejabat imigresen selepas ini dan boleh melakukannya secara dalam talian.

Berita gembira itu hasil daripada usaha penambahbaikan yang dijalankan antara Jabatan Imigresen bersama pejabat imigresen di seluruh Semenanjung dalam tempoh Peringkat Pembuktian Konsep (POC) bagi sistem dalam talian MyEG Service Bhd (MyEG).

Enam kes yang dikenal pasti ialah pekerja asing tinggal lebih masa, pemutihan senarai syak dan passport mereka perlu diperbaharui kerana tamat tempoh.

Ia turut membabitkan masalah berkaitan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) di mana pekerja tidak perlu lagi menjalani saringan kesihatan selepas tiga tahun, selain data pekerja asing yang tidak lengkap dan tidak sepadan dengan sistem dalam rekod imigresen.

Pengarah Bahagian Pekerja Asing Imigresen, Farah Adura Hamidi berkata, enam kes khas yang memerlukan kelulusan di kaunter telah diselaraskan dalam usaha penambahbaikan yang melibatkan 10 perkara utama yang dikesan dalam tempoh POC sehingga 28 Februari ini.

“Tiada lagi permohonan yang perlu dibuat di kaunter selepas tamat tempoh POC pada 28 Februari ini kecuali terdapat kes-kes baharu yang dikesan memerlukan kelulusan di kaunter,” katanya dalam satu temuramah bersama mStar Online.

Portal mStar Online sebelum ini melaporkan majikan yang berhadapan enam kes khas itu dibenarkan untuk memperbaharui PLKS di kaunter imigresen kerana ia tidak dapat dilakukan menerusi sistem dalam talian MyEG yang dikuatkuasakan sejak 5 Januari lalu.

Farah Adura Hamidi.

Farah Adura berkata, 10 perkara utama yang dikenal pasti untuk penambahbaikan itu ialah kadar caj untuk perkhidmatan itu, pengesahan PLKS, pengeluaran pas khas, arahan yang tidak seragam, pindaan maklumat terhadap permit, arahan keselamatan kerajaan serta hak dan tanggungjawab penyedia perkhidmatan.

Menurutnya, ini termasuk kelulusan daripada Kementerian Kewangan, surat persetujuan membuat POC untuk sistem dalam talian bagi PLKS dan petunjuk prestasi utama (KPI) penyedia perkhidmatan.

Dalam pada itu, beliau menambah, Jabatan Imigresen akan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang seragam di seluruh negara bagi memastikan sistem dalam talian itu berjalan lancar pada masa akan datang.

“Sejumlah 14 SOP yang akan diseragamkan meliputi penambahbaikan sembilan SOP sedia ada melibatkan urusan di kaunter imigresen dan mewujudkan lima SOP baharu berkaitan integrasi sistem dalam talian dan sistem imigresen.

“Ada antara 10 perkara utama itu telah pun ditangani dan ada yang akan dilaksanakan selepas kesemua SOP ini diperakui oleh pengurusan tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya, sambil menambah pelaksanaan itu akan dibuat secepat mungkin sebelum tamat tempoh POC.

Farah Adura berkata, lima SOP baharu itu ialah pengeluaran pas khas, masalah Fomema, bayaran sita sekiranya pekerja asing bermasalah, mekanisme agihan pelekat PLKS kepada penyedia perkhidmatan dan pengesahan ketulenan permit.

“Sebelum ini bekalan pelekat PLKS hanya didapati di imigresen untuk dicetak dan diedarkan kepada pemohon tetapi sekarang ia perlu diagihkan kepada penyedia perkhidmatan bagi permohonan menerusi sistem dalam talian.

“Pengesahan ketulenan ini bermakna apabila pas itu dikeluarkan telah ditetapkan bahawa Jabatan Imigresen yang akan mengesahkannya sekiranya pihak penguatkuasa membuat pemeriksaan terhadap pekerja asing,” katanya.

Menurut Farah Adura, tempoh POC sememangnya bertepatan dalam mengenal pasti masalah atau kelemahan yang berbangkit daripada pelaksanaan sistem dalam talian.

“Usaha penambahbaikan ini dibuat bersama pegawai-pegawai imigresen negeri yang memberikan kerjasama penuh selain berkongsi idea dan pendapat untuk memastikan SOP bagi penambahbaikan sistem dalam talian dapat disiapkan,” katanya.

Artikel Berikut

MIC: Subra Cabar Palanivel

Artikel Lain