suria

Kaji Wujud Laman Web Khas MH17 - DCA

PETALING JAYA: Laman web khas berkaitan nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 sedang dipertimbangkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA)  bagi memudahkan waris mangsa mendapatkan maklumat dan perkembangan semasa membabitkan aspek siasatan dan pampasan.

Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, perkara tersebut akan dikaji sekiranya terdapat keperluan dan permintaan daripada waris mangsa.

Menurutnya, pada masa ini masih belum ada perkembangan terbaharu berhubung siasatan nahas MH17 menyebabkan tiada saluran khas diwujudkan.

“Kita akan mengkaji keperluannya. Kalau kita wujudkan laman web pun sekarang ini belum ada perkembangan mengenai siasatan untuk dimaklumkan.

“Tetapi jika ada keperluan mengenai perkara lain untuk kemudahan waris, maka kita akan membawa perkara itu dan membincangkannya bersama jawatankuasa MH17,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Azharuddin berkata, perbincangan bersama jawatankuasa atau pasukan petugas khas MH17 akan meneliti saluran terbaik sebagai kemudahan untuk waris mangsa dalam mendapatkan perkembangan siasatan dan perkongsian maklumat berkaitan nahas itu.

Azharuddin Abdul Rahman.

Sebelum ini, mStar Online melaporkan rintihan Mariyam Yusoff, isteri juruterbang MH17 yang menggunakan saluran Facebook untuk mendapatkan pandangan ramai mengenai tragedi yang menimpa suaminya, Wan Amran Wan Hussin sebagai salah satu cara untuk menenangkan dirinya selepas tujuh bulan tragedi itu berlaku.

Minggu lalu, portal berita ini juga melaporkan mengenai sekumpulan besar waris anak kapal MH17 mengadakan pertemuan dengan peguam antarabangsa bagi mendengar taklimat dan membincangkan apakah tuntutan yang boleh dibuat mengikut undang-undang.

Susulan laporan tersebut, beberapa waris mendedahkan bahawa kebanyakan daripada mereka mengakui sedang dalam proses mendapatkan khidmat guaman antarabangsa bagi menuntut keadilan terhadap orang tersayang dan memastikan mereka mendapat hak sewajarnya.

Selain mahu pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan, isu wang pampasan yang ditawarkan oleh MAS turut dibangkitkan mereka.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Jumaat lalu berkata, kerajaan memberi jaminan akan memberi perhatian terhadap sebarang masalah yang dihadapi waris mangsa MH17 termasuk isu yang berbangkit berkaitan insiden tersebut.

Bagaimanapun Liow berkata, sebarang isu mengenai pampasan, waris mangsa MH17 boleh menghubungi MAS yang bertanggungjawab memproses bayaran itu.

Ditanya mengenai saluran khas itu turut akan memudahkan waris MH17 mengadu masalah seperti berkaitan pampasan atau mahu mendapatkan khidmat nasihat, Azharuddin berkata, perkara tersebut akan dikaji terlebih dahulu.

“Kita akan kaji sekiranya ada keperluan,” katanya.

Mengenai perkembangan siasatan MH17, Azharuddin menjelaskan bahawa ia sedang dijalankan oleh pasukan penyiasat yang diketuai pihak Belanda dan Malaysia adalah antara negara yang terlibat dalam pasukan itu.

“Laporan awal telah dikeluarkan pihak Belanda. Jadi, kita tunggu sahaja laporan-laporan lain. Setakat ini, belum ada lagi perkembangan baharu,” tambahnya.

Laporan awal nahas MH17 pada Julai tahun lalu menunjukkan bahawa pesawat itu berkecai di udara akibat kerosakan struktur selepas terkena sebilangan besar objek bertenaga tinggi yang menembusi pesawat daripada luar.

Laporan 34 muka surat yang dikeluarkan oleh Lembaga Keselamatan Belanda pada 9 September tahun lalu menyatakan bahawa tiada petunjuk bahawa nahas MH17 di timur Ukraine itu, yang mengorbankan kesemua 298 orang dalam pesawat, disebabkan kesilapan teknikal atau tindakan anak kapal.

Artikel Lain