suria

Pasar Chow Kit: Tagih Janji DBKL, Masalah Projek, Peniaga Ke Parlimen - Johari Ghani

Pemandangan udara sekitar kawasan Pasar Chow Kit yang akan melalui proses pembangunan.

PETALING JAYA: Peniaga di Pasar Transit Jalan Raja Bot mungkin boleh menarik nafas lega tidak lama lagi apabila rungutan mereka  mengenai projek pembangunan semula pasar itu akan dibawa ke Parlimen, Mac ini.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, beliau maklum akan masalah yang dihadapi peniaga di pasar transit yang sudah kira-kira enam bulan menjalankan perniagaan di situ.

Namun, beliau menganggap masalah itu dapat ditangani jika projek berkenaan siap mengikut jadual.

“Saya hanya mahu kepastian bahawa projek pembangunan semula kawsaan Chow Kit ini tak tertangguh.

"Saya katakan demikian kerana saya sedar dan nampak tak ramai pekerja di tapak projek itu,” katanya kepada mStar Online.

Johari Abdul Ghani.

Menurut Johari, selepas turun padang dan melihat sendiri perkembangan projek itu yang melibatkan kawasan Chow Kit dan Jalan Raja Bot, timbul kebimbangan sama ada kontraktor yang dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) benar-benar berwibawa atau sebaliknya.

Kebimbangan tersebut hampir ‘senada’ dengan sebahagian peniaga yang menyatakan keresahan mereka jika projek pembangunan itu memakan masa lebih lama dan tidak dapat disiapkan mengikut jadual iaitu pada 2017.

Ini kerana, peniaga mendakwa telah merasai kesan dari segi kemerosotan pendapatan ekoran masalah yang timbul seperti kedudukan gerai tidak strategik, tiada tandas awam, tiada bekalan air dan elektrik serta tiada papan tanda promosi seperti dijanjikan DBKL.

“Pada sesi Parlimen akan datang, salah satu soalan saya ialah, saya nak tahu syarikat mana yang dapat projek ini sebab saya tak dimaklumkan mengenainya.

“Kemudian saya nak tahu berapa lama jangka masa yang telah ditetapkan kepada mereka dan adakah  terdapat jangkaan akan berlakunya penangguhan terhadap pembangunan pasar ini,” katanya.

Mengenai dakwaan peniaga bahawa pendapatan mereka terjejas selepas bersetuju memberikan laluan kepada pembangunan kompleks pasar yang lebih moden, beliau ada dimaklumkan mengenai pengurangan kapasiti terhadap peniaga.

Namun, Johari berkata, mana-mana peniaga yang melalui proses pembangunan semula kawasan perniagaan tidak dapat lari daripada ‘gangguan’ seperti ini.

Pandangan perspektif pencahayaan malam pembangunan semula Pasar Jalan Raja Bot.

Bagaimanapun beliau berkata, itu tidak bermakna DBKL harus melupakan janji-janji yang dibuat kepada peniaga sebelum mereka bersetuju untuk dipindahkan ke pasar sementara.

“Apa sahaja yang dijanjikan DBKL kepada peniaga, maka DBKL kena bertanggungjawab untuk memenuhi kehendak mereka yang bersetuju untuk berpindah bagi memudahkan pembangunan dilakukan,” katanya.

Katanya, setakat ini beliau tidak mengadakan perbincangan dengan DBKL, kerana komunikasi secara langsung lebih melibatkan persatuan peniaga, Perbadanan Kampung Baru dan DBKL sendiri.

“Banyak perkara yang dipersetujui antara mereka, ia tidak melalui pejabat saya tetapi sebagai wakil rakyat, kalau ada masalah saya akan memainkan peranan.

“Dalam isu ini, persatuan peniaga boleh terus datang jumpa saya dan bincang. Tapi mereka harus datang dengan fakta-fakta berkaitan,” katanya.

Pada Isnin, mStar Online, dalam laporannya mendedahkan rungutan peniaga di Pasar Transit Jalan Raja Bot yang mendakwa pendapatan mereka terjejas, malah ada yang terpaksa gulung tikar lebih awal selepas ditempatkan di pasar sementara.

Mereka turut mengaitkan masalah yang dihadapi dengan pihak DBKL yang didakwa tidak memberi perhatian dari segi kemudahan asas serta tidak menunaikan janji yag dibuat sebelum mereka setuju berpindah ke pasar transit.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kartunis Zunar Ditahan Polis

Artikel Lain