suria

Dokumen Penghakiman Penentu Tindakan Susulan - Peguam Anwar

Gopal Sri Ram yang mengetuai barisan peguam Anwar enggan memberi sebarang komen ketika keluar dari kamar mahkamah, Selasa.

PUTRAJAYA: Barisan peguam yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memutuskan sama ada akan mengemukakan permohonan mengkaji semula keputusan terhadap kes liwat kedua ketua pembangkang itu selepas memperoleh penghakiman penuh.

Ramkarpal Singh Deo berkata, mereka tidak perlu tergesa-gesa kerana tiada tempoh tertentu ditetapkan untuk pihaknya berbuat demikian.

"Kami mungkin akan mengemukakan permohonan untuk mengkaji semula keputusan mahkamah tetapi ia bergantung kepada penghakiman penuh," katanya sambil menambah pihaknya hanya menerima penghakiman awal pada Selasa.

Berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar, Ramkarpal berkata, beliau kesal dengan keputusan yang dibuat itu.

"Walaupun kami menerima keputusan itu, ia tidak bermakna kami bersetuju dengan keputusan mahkamah," katanya.

Seorang lagi peguam Anwar, Gobind Singh Deo berkata, pihak peguam perlu meneliti penghakiman lengkap terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan untuk mengkaji semula keputusan itu.

Bagaimanapun, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai barisan 15 peguam yang mewakili Anwar enggan memberi sebarang komen apabila ditemui wartawan.

Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 iaitu Peraturan 137 membenarkan pihak yang kalah boleh mengemukakan permohonan mengkaji semula keputusan mahkamah.

Pada Selasa, Anwar yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap kes liwat keduanya terhadap bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Artikel Lain