suria

Hudud Boleh Selesai Pertikaian Kes Liwat II Anwar Ibrahim - Hadi

PETALING JAYA: Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menegaskan pendiriannya bahawa hanya pelaksanaan hukum hudud boleh menyelesaikan pertikaian undang-undang khususnya dalam kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengulangan pendiriannya Presiden PAS berkenaan dibuat ketika kebanyakan pemimpin pembangkang menyatakan kekecewaan mereka dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap ketua pembangkang itu.

Katanya, semua pihak perlu memberi keyakinan kepada PAS untuk menegakkan undang-undang Islam itu sebagai cara hidup.

“Hanya undang-undang Syariah sahaja dapat memberi keadilan sebenar dan penyelesaian terhadap seluruh kekeliruan dan fitnah sebagaimana kes ini.

"Maka perlunya semua pihak memberi keyakinan kepada PAS untuk membawa perjuangan hingga berdaulatnya Undang-undang Syariah di dalam pemerintahan negara kita ini, termasuk menegakkan 'addin' iaitu cara hidup Islam,” katanya.

Beliau mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa yang mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar setelah menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara itu bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.

Sebelum ini, isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan menjadi polemik di kalangan pakatan pembangkang, khususnya DAP yang secara terang menentang agenda perjuangan PAS itu kerana ia tidak dipersetujui dalam ‘Dasar Bersama’ Pakatan Rakyat.

Mengulas lanjut, Hadi yang tidak hadir pada prosiding hari ini menyifatkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar sebagai ‘satu lagi sejarah hitam negara’.

"PAS merakamkan takziah dan simpati terhadap Datuk Seri Anwar atas ujian hukuman yang dijatuhkan kepadanya. Hari ini menjadi satu lagi sejarah hitam negara, mengulangi tragedi sama pernah ditanggung beliau sebelum ini," katanya.

Tambah Hadi, komponen Pakatan Rakyat perlu terus bersatu bagi meneruskan cita-cita politik mereka walaupun tanpa Anwar.

"Kepada Datuk Seri Anwar, ahli keluarga, seluruh anggota PKR dan Pakatan Rakyat, semoga kita terus sabar dan istiqamah untuk kekal melangsungkan perjuangan menegakkan keadilan bagi negara ini," katanya.

Hadi Awang, liwat, hudud, Anwar Ibrahim

Artikel Lain