suria

DNA 'Lelaki Y' Dalam Rektum Saiful Milik Anwar - Mahkamah Persekutuan

Ariffin Zakaria

PUTRAJAYA: Profil DNA "Lelaki Y" yang terdapat dalam rektum Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah milik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, demikian diputuskan Mahkamah Persekutuan, Selasa.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria berkata, keterangan dua ahli kimia, Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon, bahawa profil DNA Lelaki Y yang dihasilkan daripada ekstrak air mani daripada rektum Mohd Saiful adalah sepadan dengan profil yang dihasilkan daripada berus gigi, tuala Good Morning dan botol air mineral yang diambil dari lokap yang dihuni Anwar.

Mahkamah Persekutuan, Selasa menolak rayuan Anwar terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengubah penghakiman Mahkamah Tinggi, dan mensabitkan serta menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful pada 26 Jun, 2008.

Hakim Arifin berkata dengan mengambil kira keterangan lain, tidak dapat dipertikaikan bahawa sampel yang diperiksa Nor Aidora adalah daripada barangan yang hanya digunakan oleh Anwar.

"Dengan ini tidak dapat dipertikaikan bahawa profil Lelaki Y yang dihasilkan dan dianalisis oleh kedua-dua ahli kimia tidak lain dan tidak bukan adalah milik perayu," katanya.

Hakim Arifin berkata berdasarkan pangkalan data DNA populasi rakyat Malaysia, terdapat kebarangkalian amat tinggi bahawa DNA Lelaki Y adalah milik individu yang sama.

Dengan ini, mahkamah memutuskan bahawa keterangan DNA Lelaki Y menyokong keterangan terhadap elemen penetrasi zakar oleh Anwar.

Mahkamah juga memutuskan bahawa keterangan dua ahli kimia itu terletak di bawah pendapat pakar dan panel tidak berasa sangsi bahawa mereka adalah pakar dan Anwar telah gagal untuk mempertikaikan kepakaran mereka.

"Tiada apa-apa yang jelas tidak munasabah berhubung keterangan PW5 (saksi kelima pihak pendakwaan Dr Seah) dan PW6 (Nor Aidora)," katanya.

Panel juga mendapati pengambilan barang bukti atau eksibit yang digunakan Anwar semasa beliau berada dalam lokap tidak melanggar mana-mana peraturan ataupun ia melanggar hak perlembagaan Anwar untuk perbicaraan yang adil.

Hakim Arifin berkata Anwar ditahan di lokap mengikut undang-undang dan pengambilan barang oleh pasukan forensik adalah menggunakan kaedah penyiasatan polis yang adil dan mengikut undang-undang.

Berhubung DNA yang disokong oleh keterangan, beliau berkata berdasarkan keterangan Dr Seah bahawa, dari segi logik, jika sperma dikesan dalam rektum  Mohd Saiful, dengan itu mesti berlaku penetrasi zakar, keterangan yang menyokong dakwaan Mohd Saiful bahawa dirinya telah diliwat oleh Anwar.

"Sama ada dubur koyak atau lebam, pada pendapat kami bukanlah satu isu yang dapat mempertikaikan fakta bahawa Mohd Saiful telah diliwat," katanya.

Beliau berkata menurut tiga doktor kerajaan, ketiadaan kecederaan seumpama itu mungkin disebabkan oleh jarak masa sebelum menemui doktor berkenaan, bukan kerana tiada paksaan berlaku, dan pelincir telah digunakan.

"Penjelasan ini, pada pandangan kami, adalah munasabah dan kami menerimanya," kata Hakim Arifin.

Berhubung isu lain iaitu berlaku degradasi pada sampel, panel itu bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa adalah tidak betul dan mengelirukan untuk merumuskan bahawa hanya kerana berlaku degradasi, profil DNA yang dihasilkan tidak boleh dipercayai.

Hakim Arifin berkata dengan itu mahkamah tertinggi mendapati degradasi itu tidak mendatangkan kesan terhadap profil DNA dalam kes ini.

Ketua Hakim Negara juga bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa integriti sampel tidak tercemar seperti dihujahkan oleh pasukan pembelaan.

Beliau berkata Dr Seah, dalam keterangannya, mengesahkan beliau tidak mengesan yang pateri pada eksibit telah dibuka, dan dengan itu, panel mendapati tidak berlaku gangguan dalam rantaian penghantaran eksibit berkenaan.

"Cadangan peguam bela perayu bahawa keterangan DNA sengaja diada-adakan, adalah dengan itu tidak dapat dibuktikan," katanya.

Hakim Arifin berkata panel berpendapat hakim perbicaraan (mahkamah tinggi) terkhilaf dalam memutuskan 'kepastian 100 peratus' mengenai bukti bahawa kemungkinan sampel DNA yang diambil daripada Mohd Saiful telah tercemar.

"Berhubung fakta kes ini, kami dapati bahawa kemungkinan integriti sampel diambil daripada Mohd Saiful telah tercemar sebelum sampai kepada ahli kimia adalah terpencil. Cadangan itu boleh ditolak dengan satu ayat, "sudah pasti ia mungkin, tetapi kebarangkalian yang amat kecil," kata Hakim.

Selain itu, Hakim Arifin berkata kenyataan pembelaan Anwar bahawa pertuduhan terhadapnya merupakan konspirasi politik kekal sebagai dakwaan yang tidak disokong oleh mana-mana saksi berwibawa.

Beliau berkata mahkamah tertinggi memutuskan Mahkamah Rayuan telah menggunakan prinsip betul dalam menilai kenyataan perayu.

"Walaupun betul bahawa perayu berhak untuk memberikan keterangan, kenyataan itu bagaimanapun mestilah pembelaan yang berwibawa," katanya.

Tentang keterangan saksi pihak pembelaan, Dr Muhamed Osman Abdul Hamid dari  Pusrawi, doktor pertama yang memeriksa Mohd Saiful pada 28 Jun, 2008, dua hari selepas kejadian liwat itu, Hakim Arifin berkata panel bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa beliau seorang yang tidak boleh dipercayai dan bercakap tidak benar.

"Ini menjelaskan kenapa pihak pendakwaan memilih untuk tidak memanggil beliau sebagai saksi mereka. Adalah sudah lapuk bahawa bidang kuasa untuk memanggil mana-mana saksi terletak dalam tangan pihak pendakwaan dan mahkamah tidak akan campur tangan dalam pelaksanaan bidang kuasa itu," katanya.

Mahkamah juga berkata saksi pihak pendakwaan Dr Jeyaindran a/l C.

Sinnadurai, yang memeriksa Anwar tiga minggu selepas kejadian itu, berkata  Anwar memberitahunya bahawa beliau mengadakan hubungan seks dengan isterinya seminggu sebelum kejadian itu.

Saksi itu juga berkata Anwar tidak mengadu yang beliau mengalami sakit belakang, dan daripada pemerhatiannya semasa pemeriksaan perubatan, pergerakan Anwar lancar dan tidak terjejas oleh sebarang kesakitan.

Hakim Arifin berkata berdasarkan keterangan itu, panel berpandangan bahawa pendapat saksi pakar pihak pembelaan, Dr Thomas Hoogland, bahawa Anwar tidak mampu melakukan aksi itu adalah langsung tidak berasas.

"Hasilnya kami memutuskan bahawa terdapat bukti kukuh untuk menyokong dakwaan Mohd Saiful bahawa beliau telah diliwat oleh perayu," katanya.

Artikel Lain