suria

Bekas CEO Tekun Disiasat Kes Rasuah, Pecah Amanah

PETALING JAYA: Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) yang tamat tempoh tahanan remannya baru-baru ini disiasat membabitkan dua kes iaitu meminta suapan dan pecah amanah.

Suspek bergelar Datuk itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan daripada syarikat pengutip hutang pada 16 Januari lalu.

Bagaimanapun, sebaik tamat tempoh berkenaan dan dilepaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), suspek ditahan semula pada keesokannya.

Sumber memberitahu mStar Online, bekas pegawai kanan berusia 60 tahun itu seterusnya direman enam hari lagi untuk membolehkan siasatan berhubung dakwaan pecah amanah membabitkan nilai ratusan ribu terhadapnya dijalankan.

"Suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM untuk kali kedua pada 28 Januari lalu dan sehingga kini siasatan membabitkan kedua-dua kes berkenaan masih dijalankan," katanya.

Bagi kes meminta suapan daripada syarikat pengutip hutang, suspek disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, manakala kes pecah amanah disiasat mengikut Kanun Keseksaan.

Sumber itu berkata, kertas siasatan yang lengkap akan dikemukakan ke pejabat Peguam Negara untuk pertimbangan lanjut, sama ada disusuli dengan pendakwaan atau disiasat dengan lebih terperinci.

Menurut rekod, suspek dilantik ke jawatan itu pada 2004 di mana ketika itu Tekun adalah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Bagaimanapun selepas kementerian itu dimansuhkan, Tekun kini diletak di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.



Tekun, pecah amanah, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Lain