suria

QZ8501: Najib Sampaikan Ucapan Takziah Kepada Jokowi

PUTRAJAYA: Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada Indonesia berhubung tragedi yang menimpa pesawat AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501 pada akhir tahun lepas.

Perkara itu dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pertemuannya dengan Presiden Indonesia Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi di sini, Jumaat.

"Saya juga menyampaikan ucapan takziah kerajaan dan rakyat Malaysia atas tragedi menyayat hati (pesawat) AirAsia yang telah berlaku sebelum ini," kata Najib pada sidang media bersama-sama Jokowi di Bangunan Perdana Putra di sini.

Jokowi sedang dalam rangka lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia selepas dipilih sebagai Presiden Indonesia pada Oktober 2014.

Dalam tragedi pada 28 Dis itu, pesawat Airbus yang membawa 162 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan ke Singapura dari Surabaya, Indonesia.

Pesawat itu kemudiannya disahkan terhempas di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan.

Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 rakyat Indonesia, tiga Korea Selatan, dan masing-masing seorang rakyat Singapura, Malaysia dan United Kingdom manakala kru penerbangan terdiri daripada enam warga Indonesia dan seorang rakyat Perancis.

Sehingga semalam, sebanyak 67 jasad penumpang telah dikenal pasti manakala 25 lagi masih dalam proses identifikasi di Hospital Bhayangkara, Surabaya. 




Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain