suria

Ugut Bunuh Ismail Sabri, Pemuda Umno Buat Laporan Polis

BUKIT MERTAJAM: Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang dan sembilan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pada Khamis membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh terhadap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam laman sosial, Rabu.

Ketua Pemuda Umno Permatang Pauh Abu Bakar Sidekh Zainul Abidin menyifatkan ancaman bunuh itu merupakan tindakan yang tidak wajar, tidak bertamadun dan tidak mengenal erti kemanusiaan.

"Kita hidup di negara yang berperlembagaan dan negara berdaulat, sepatutnya perkara ini tidak berlaku.

"Teguran yang dilakukan oleh Datuk Ismail Sabri adalah khas ditujukan kepada pengguna di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini, Khamis.

Abu Bakar merujuk kepada gesaan Ismail Sabri supaya pengguna bersatu memboikot dan memberi tekanan kepada peniaga yang enggan menurunkan harga barang yekoran harga minyak turun.

Antara NGO yang membuat laporan polis itu ialah Gerakan Belia 4B Pulau Pinang, Anak Muda Permatang Pauh dan Persatuan Muka Buku Pulau Pinang.

Abu Bakar berkata pihaknya meminta polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu yang mengeluarkan kenyataan ugutan itu.

"Kami tidak mahu selepas ini ada lagi pihak lain yang membuat ugutan terhadap pihak-pihak tertentu," katanya.

Kenyataan Ismail Sabri berhubung isu boikot peniaga degil dalam laman sosial itu menjadi viral sejak Isnin lepas dan menerima pelbagai maklum balas termasuk yang terbaharu, ugutan bunuh.

Umno, Cina, Ugut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain