suria

Malaysia Dilantik Sebagai Pengerusi Asosai

KUALA LUMPUR: Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang akan mengambil alih jawatan Pengerusi Pertubuhan Audit Negara Asia (Asosai) bagi penggal 2015-2018, menurut Jabatan Audit Negara Rabu.

Ini adalah kali pertama Malaysia akan mengetuai pertubuhan 46 anggota,diwakili Ketua Audit Negara, sejak ia ditubuhkan pada 1979.

Sebelum ini, Malaysia pernah dipilih sebagai setiausaha agung badan pertubuhan serantau itu bagi tempoh 1983 hingga 1988.

Menurut kenyataan Jabatan Audit Negara, Malaysia akan dilantik secara rasmi untuk mengerusikan pertubuhan itu sempena Perhimpunan Asosai ke-13, di sini, dari 10 hingga 13 Februari ini.

Jabatan itu berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menyampaikan ucaptama dan seterusnya merasmikan perhimpunan itu pada 10 Feb ini.

Perhimpunan empat hari itu akan dihadiri oleh 200 peserta dari negara anggota serta wakil daripada Pertubuhan Institusi Audit Antarabangsa (Intosai), Pertubuhan Audit Negara Eropah (Eurosai) dan Pertubuhan Audit Negara Afrika (Afrosai).

Di samping itu, wakil daripada Gabungan Akauntan Asia dan Pasifik (CAPA) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA) juga akan hadir.

Sempena dengan perhimpunan itu, satu simposium dengan tema 'LeveragingTechnology To Enhance Audit Quality dan Effectiveness" akan diadakan pada 12 Feb ini.

Menurut kenyataan itu, sebelum perhimpunan tersebut, sebuah mesyuarat khas Ketua Audit Negara daripada 10 negara anggoa ASEAN akan diadakan Isnin ini.

Asosai ditubuhkan untuk meningkatkan profesionalisme juru audit kerajaan melalui pertukaran pengetahuan, pengalaman dan kemahiran pengauditan kerajaan oleh ahli-ahli badan gabungan itu.

Tan Sri Ambrin Buang, Asosai

Artikel Sebelum

Artikel Lain