suria

Dr Maza Dilantik Mufti Perlis Kali Kedua

Gambar yang dimuat naik Mohd Asri di laman Facebook miliknya pada Isnin.

PETALING JAYA: Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin kembali dilantik sebagai Mufti Perlis bagi menggantikan Dr Juanda Jaya yang tamat perkhidmatannya pada tahun lalu.

Pelantikan itu adalah yang kedua baginya selepas kali pertama memegang jawatan itu dari 2006 hingga 2008.

Berita berkenaan turut dikongsi tokoh agama terkenal itu di laman Facebook beliau awal pagi Isnin.

"Hari pertama memasuki pejabat sebagai Mufti Kerajaan Negeri Perlis bagi lantikan kali kedua. Pohon doa semua rakyat Malaysia," tulisnya.

Mohd Asri terkenal dengan kelantangannya memberi pandangan mengenai pelbagai isu berkaitan agama dan amalan dalam masyarakat.

Beliau yang juga dikenali sebagai Dr. Maza sering diselubungi kontroversi termasuk pernah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana didakwa menyampaikan kuliah tanpa tauliah di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang.

Bagaimanapun pada Mei tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak melepas dan membebaskan Mohd Asri daripada tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah pada November 2009.

Artikel Lain