suria

Polis Sabah Rakam Percakapan Suspek Berkaitan Risalah SSKM

Jalaluddin Abdul Rahman

KOTA KINABALU: Polis Sabah sudah merakamkan percakapan sembilan suspek termasuk tiga wanita, berhubung pengedaran risalah Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) di Tuaran, Ahad.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, selain percakapan sembilan suspek berumur 24 hingga 52 tahun itu, pihaknya turut merekodkan keterangan 14 orang saksi.

"Tangkapan sembilan suspek dibuat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Kesemua sembilan suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 5 petang semalam selepas rakaman percakapan diambil," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Jalaluddin berkata, siasatan juga akan dijalankan di bawah Akta Mesin Cetak dan siasatan kes itu akan disiapkan secepat mungkin untuk diserahkan kepada pihak Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.

Beliau berkata, sembilan suspek itu ditahan selepas disyaki mengedarkan risalah berkaitan SSKM di beberapa lokasi di tamu (pasar minggu) Tuaran antara pukul 9.50 pagi dan 10.42 pagi semalam.

Katanya, berikutan tangkapan itu, sebanyak 113 risalah pelbagai tajuk dan beberapa buah buku turut dirampas daripada suspek untuk membantu siasatan. 



Artikel Berikut

Artikel Lain