suria

Prof Harith Mahu Bangunkan Program Semai Minat Bidang Sains

BANGI: Pakar Fotonik, Profesor Dr Harith Ahmad, yang  dinobatkan sebagai Profesor Ulung Negara 2014 mahu menggunakan geran penyelidikan untuk membangunkan program bagi menyemai minat pelajar dalam bidang sains, khususnya bidang fotonik.

Beliau berkata program itu termasuk membawa pelajar yang sedang menunggu keputusan untuk memasuki universiti berkunjung ke makmal bagi menarik minat mereka dalam bidang itu.

"Kita perlu menjaga generasi muda kita. Mereka adalah masa depan kita.

Hasrat saya adalah melahirkan lebih ramai modal insan khususnya dalam bidang fotonik kerana kepakaran yang sesuai akan menarik lebih banyak syarikat besar untuk melabur di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Profesor Ulung Negara 2014 di sini, Jumaat.

Prof Harith yang merupakan Profesor Ulung Negara Ke-4 menerima piala, sijil dan geran penyelidikan bernilai RM300,000 daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis itu.

"Ini merupakan satu pelantikan penting dalam hidup saya ... saya amat bertuah kerana dalam ribuan profesor, saya dipilih sebagai penerima tunggal Anugerah Profesor Ulung Negara (bagi 2014).

"Ia merupakan satu anugerah yang susah untuk dapat. Penerima terakhir ialah pada tahun 2010," katanya yang digelar "Albert Einstein" oleh rakan sekerja dan pelajarnya kerana gaya rambut serta minat beliau dan bidang sains.

Prof Harith, anak kelahiran Alor Setar, Kedah merupakan warga Malaysia pertama yang mendapat latihan dalam bidang sains fotonik.

Beliau telah menyumbang kepada pembangunan sektor telekomunikasi melalui jalinan kerjasama akademik dengan industri semenjak Rancangan Malaysia Ke-7.

Beberapa projek kebangsaan tercetus melalui idea awal Prof Harith dan yang terkini termasuk inisiatif jalur lebar berkelajuan tinggi.

Kecemerlangan beliau dalam akademik juga terserlah melalui penghasilan lebih 520 artikel dalam jurnal dan beberapa paten yang difailkan.

Beliau turut menerima pelbagai anugerah daripada organisasi kebangsaan dan antarabangsa termasuk Anugerah Merdeka untuk Pencapaian Keilmuan (2010), Hadiah untuk Sains dan Teknologi IDB-Pusat Penyelidikan Fotonik (2014) dan Anugerah Ahli Sains dan Teknologi Cemerlang Asean (2014).

Dalam pada itu, Prof Harith mencadangkan agar Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) melantik ahli akademik sebagai Ahli Lembaga Pengarah untuk menyumbang buah fikiran dan membantu mewujudkan industri baharu dalam membangunkan negara.

Beliau turut menyarankan GLC menggunakan produk yang dihasil penyelidik tempatan.

"Tidak dapat dinafikan GLC agak sangsi dengan produk-produk yang dihasikan penyelidik tempatan dan kurang berminat. Selain mendapat keuntungan, GLC harus membangunkan industri lain dengan memberi peluang pekerjaan baharu.

"Anda perlu mmepunyai komitmen kepada negara dan bukan semata-mata mendapat keuntungan sahaja. Universiti dan GLC harus bekerjasama memainkan peranan untuk membangunan negara," katanya.

Artikel Lain