suria

KPDNKK Laksana 2.6 Juta Pemeriksaan Pada 2014

Roslan Mahayuddin

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melaksanakan lebih 2.6 juta pemeriksaan di seluruh negara pada 2014 untuk mengesan kegiatan cetak rompak dan penjualan barangan tiruan serta penipuan harga.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayuddin berkata ,daripada pemeriksaan itu, yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya, sebanyak 10,742 kesalahan direkodkan melibatkan nilai rampasan RM147.1 juta.

"Kompaun yang dikutip adalah sebanyak RM829,910 daripada 4,623 kes, sementara denda yang dikenakan sebanyak RM839,900 daripada 33 kes," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Mohd Roslan berkata, daripada keseluruhan pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 170,363 pemeriksaan dilakukan terhadap aktiviti cetak rompak melibatkan 1,020 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM6.38 juta.

Sebanyak 73 serbuan dengan kerjasama Business Software Alliance (BSA)  terhadap premis perniagaan yang menggunakan perisian tidak sah pula melibatkan rampasan berjumlah RM16 juta.

Sementara itu, Mohd Roslan menolak dakwaan bahawa KPDNKK hanya fokus kepada perniagaan tertentu dalam melaksanakan penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang menggunakan perisian tidak sah.

"Kami melakukan pemeriksaan terhadap pelbagai jenis perniagaan contohnya seni bina, penyelesaian automasi, reka bentuk perabot dan pembuatan.

"Walau apapun jenis perniagaan, mereka harus menggunakan perisian asli dan KPDNKK tidak akan bertoleransi dalam hal ini," jelasnya.


Artikel Lain