suria

Mahkamah: Lim Tak Tahu Anwar Ikrar Selamatkan Kampung Buah Pala

Lim Guan Eng

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, Isnin beliau tidak tahu bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berikrar untuk menyelamatkan Kampung Buah Pala.

"Saya tidak sedar mengenainya," kata Lim yang juga setiausaha agung DAP semasa disoal peguam Baljit Singh yang mewakili defendan pertama Penang Citizens Awareness Chant Group (Chant) Jimmy Lim Cheok Siang.

Lim juga berkata, beliau tidak tahu bahawa sebelum pilihan raya umum 2008, Anwar telah membuat ikrar itu kepada penduduk kampung berkenaan.

Kepada satu lagi soalan Baljit Singh sama ada Adun Seri Delima RSN Rayer dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy menjanjikan penduduk Kampung Buah Pala bahawa mereka boleh tinggal di kawasan itu buat selama-lamanya, Lim juga menjawab "saya tidak sedar mengenainya."

Lim berkata demikian ketika memberi keterangan dalam pendengaran saman fitnah beliau terhadap Jimmy, Mtoday News Sdn Bhd dan wartawannya Athi Shankar. Sementara itu Lim menegaskan hanya George Town diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

"Artikel itu ditulis tanpa mendapatkan komen serta penjelasan saya dan cuba untuk memfitnah saya sebagai ketua menteri dan sebagai individu," katanya.

Pada Januari tahun lepas, Lim selaku plaintif, memfailkan saman itu dengan mendakwa Jimmy telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, tidak benar dan berniat jahat terhadapnya dalam satu sidang akhbar pada 6 Disember 2013.

Menerusi pernyataan tuntutan pindaan itu, Lim mendakwa defendan kedua dan ketiga juga telah secara sengaja, salah dan berniat jahat menerbitkan artikel berjudul 'Guan Eng has failed, says NGO' pada tarikh sama dan disiarkan dalam laman web Free Malaysia Today.

Lim mendakwa artikel itu menunjukkan bahawa beliau seorang Ketua Menteri Pulau Pinang yang tidak berkaliber kerana cuba memusnahkan status warisan dunia yang dianugerahkan kepada negeri itu.

Beliau mendakwa artikel berkenaan juga menunjukkan bahawa beliau seorang pemimpin atau individu yang tidak prihatin terhadap kesejahteraan rakyat berbangsa India dengan cara mengakibatkan dan membenarkan pemusnahan kawasan yang dikenali sebagai Kampung Buah Pala.

Lim menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, perintah untuk pihak defendan menarik balik artikel fitnah itu dan memohon maaf kepadanya atas penulisan dan penerbitan artikel tersebut, faedah, kos atau relif lain yang difikirkan sesuai.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan bersambung 27 Februari depan.



Artikel Berikut

Artikel Lain