suria

Mangsa Banjir Perlu Bantuan Persekolahan Anak

Mangsa banjir, Norasidah Noor (kanan) bersama anaknya Putri Sufia Umairah Megat Makmoor, 1, serta adiknya Liza Wati Noor (kiri) memilih baju yang disumbangkan oleh orang ramai setelah kampungnya dilanda banjir di Kampung Sokor dekat sini hari ini. Sebanyak kira-kira 100 keluarga terbabit dalam banjir tersebut akibat limpahan air Sungai Kelantan pada minggu lepas. --fotoBERNAMA
KUALA LIPIS: Selepas banjir, keutamaan mangsa ialah untuk mendapat bantuan persekolahan seperti pakaian dan peralatan sekolah bagi anak-anak mereka.

Ini kerana wang yang mereka ada turut digunakan untuk membaiki rumah dan bagi menggantikan perkakas yang rosak.
 
"Meskipun bantuan bekalan makanan dan pakaian harian tidak putus-putus diterima, namun kini saya lebih khuatir mengenangkan sesi persekolahan anak yang akan dibuka tidak lama lagi, kerana kelengkapan sekolahnya yang telah dibeli, dihanyutkan arus banjir," kata Siti Haryani Ramly, 29.

Beliau merupakan antara kira-kira 1,000 penduduk Kampung Aur Gading di sini yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir.
 
"Saya bimbang memikirkan bagaimana untuk menyediakan semula kelengkapan persekolahan anak saya. Lagipun saya tidak dapat keluar ke bandar untuk membeli semula pakaian dan bukunya yang akan masuk tahun satu kerana Jambatan Sungai Gading telah runtuh," katanya yang juga guru Kafa kepada Bernama.
 
Mereka sekeluarga kini masih menumpang di rumah jiran dan beliau sendiri tidak dapat mengajar kerana bahan pengajarannya musnah.
 
"Ternakan kambing kami juga hanyut kesemuanya yang menyebabkan kerugian hampir RM10,000," tambahnya. 

Beliau berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan persekolahan anak-anak mangsa banjir.

Norjurinah, 36, turut gusar kerana persediaan sekolah tiga orang anaknya di sekolah menengah telah dihanyutkan air banjir.
 
"Ketika ini saya tidak dapat membeli semula kelengkapan persekolahan anak-anak saya kerana tidak ada jalan untuk keluar ke bandar. Memandangkan hari persekolahan semakin hampir, saya bimbang sekiranya tidak dapat menyediakannya semula," katanya yang turut mengharap bantuan persekolahan bagi anak-anaknya.






Artikel Lain