suria

Muhyiddin Saran Pelan Tindakan Strategik Bagi Kerjasama Malaysia-China

Tan Sri Muhyiddin Yassin
CHONGQING: Kuala Lumpur perlu merangka pelan tindakan strategik bagi kerjasama dengan China supaya ia boleh mendapat manfaat sepenuhnya daripada jalinan hubungan itu, kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pelan itu perlu merangkumi tindakan jangka pendek dan tindakan jangka panjang lima tahun mengenai usaha yang perlu diambil ke arah mencapai matlamat itu.

"Ia mesti dilakukan dengan tindakan yang dirancang baik dan tindakan susulan," katanya kepada wartawan Malaysia di sini Jumaat selepas menamatkan lawatan rasmi enam hari ke China yang meliputi kunjungan ke Beijing, Shanghai dan Chongqing sejak Ahad.

Sebagai contoh, katanya Malaysia memerlukan pelan tindakan strategik untuk mencapai sasaran AS$160 bilion (RM528 bilion) dalam perdagangan dua hala Malaysia-China pada 2017. 

"Jika itu sasarannya, kita perlukan pertumbuhan perdagangan dua hala sebanyak 11 peratus setiap tahun. Apakah barangan yang perlu dieksport, siapakah pembekal Malaysia dan bagaimana mencapai sasaran pertumbuhan ini? Ia perlu diperincikan bagi setiap subsektor dan subekonomi," kata beliau.

 Merujuk kepada contoh lain, Muhyiddin berkata Malaysia menyedari bahawa 500 juta rakyat China melancong ke luar negara setiap tahun, dan satu pelan tindakan strategik perlu dirangka untuk menarik mereka melawat Malaysia.

"Kita mesti semak (penerbangan) penyambungan kita dengan bandar-bandar besar di negara ini. Adakah kita mempunyai penerbangan yang mencukupi?,"katanya.

Beliau berkata apabila kerajaan China menggesa syarikat milik negara itu melabur di Malaysia, inisiatif perlu diambil untuk mengesan syarikat-syarikat berkenaan dan memudahkannya membuat pelaburan.

Timbalan perdana menteri berkata beliau juga akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet mengenai pelan tindakan strategik itu dan manyarankan penubuhan jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengkaji perkara itu.

"Kita perlu melihat semula strategi-strategi kita dalam memperoleh manfaat maksimum atau kita akan kerugian. Kita mesti menggandakan usaha dan kita mesti membuat keputusan dengan pantas selain mengambil tindakan serius dan cepat," katanya.

 "Jika kita bawa gaya Malaysia dalam berurusan dengan China...kita pasti kerugian," kata Muhyiddin. 

Beliau berkata kerajaan China telah menunjukkan komitmen ikhlasnya untuk menjainkan kerjasama dengan Malaysia, dan terdapat banyak peluang ekonomi yang boleh diteroka.

Semasa lawatannya di Beijing, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Zhang Gaoli, Menteri Pendidikan Yuan Guiren, ketua-ketua industri serta masyarakat Malaysia. 

Beliau juga melawat Pusat Penyelidikan dan Pembangunan(R&D) Huawei dan mengumumkan penubuhan Pusat Pengembangan Bahasa Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU) bagi mengembangkan bahasa itu di persada dunia.

Di Shanghai, Muhyiddin melawat Shanghai Normal University dan memberitahu hasrat Malaysia mengguna pakai formula kejayaan Shanghai dalam Program untuk Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) kerana wilayah itu mendapat tempat teratas dalam program itu manakala Malaysia berada dalam kalangan negara yang mencatat kedudukan terendah.

PISA meneliti pencapaian seorang remaja berusia 15 tahun dalam Matametik, Sains, bacaan dan penyelesaian masalah.

Pelajar Malaysia mencatatkan skor bawah purata bagi semua empat subjek dalam penilaian yang diadakan pada 2012.

Muhyiddin juga bertemu seorang lagi Timbalan Perdana Menteri China, Li Yuanchao, pada Forum Ekonomi China Dunia Ke-6 di mana pemimpin Malaysia itu menyampaikan ucap tama pada forum itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain