suria

Tiada Agenda Tersembunyi Kekalkan Akta Hasutan - PM

Najib melaungkan slogan 'Hidup Barisan Nasional (BN)' ketika menutup ucapan perasmiannya pada Perhimpunan Agung PPP ke-61 di PWTC, Kuala Lumpur pada Ahad. Turut kelihatan Presiden PPP Tan Sri M Kayveas (kiri). -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Keputusan untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 bukan kunci Barisan Nasional (BN) terus kekal berkuasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, kerajaan tidak mempunyai agenda tertentu apabila memutuskan untuk mengekalkan akta tersebut kerana sesebuah kerajaan itu dipilih oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Akhirnya kita menyedari bahawa BN tidak bergantung kepada akta tersebut untuk kekal berkuasa tetapi rakyat Malaysia memilih sesebuah kerajaan," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) ke-61, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra ( PWTC ) di sini, Ahad.

Turut hadir, Presiden PPP, Tan Sri M Kayveas.

Pada Khamis, Najib yang juga Presiden Umno memutuskan akta itu  dikekalkan bertujuan melindungi agama Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.

Najib memberitahu audiens bahawa survival BN terletak di tangan rakyat Malaysia.

"Akta ini tidak boleh memastikan Barisan Nasional dipilih semula pada pilihan raya akan datang. Hanya kehendak dan sokongan rakyat boleh memastikan bahawa BN kekal berkuasa," katanya.

Pada Khamis, Najib, yang juga Presiden Umno, mengumumkan pada Perhimpunan Agung Umno 2014 bahawa Akta Hasutan dikekalkan dengan cadangan pindaan untuk memasukkan dua peruntukan khas bagi menguatkan dan memperkukuhkannya agar relevan dengan perkembangan zaman.

Pada majlis yang berlangsung Ahad , beliau berkata, adalah penting untuk mengekalkan Akta Hasutan bagi mengelak konflik dan pertelingkahan antara pelbagai kaum dan kumpulan agama di negara ini.

"Seperti yang anda tahu, malah negara-negara maju tidak kebal kepada ketegangan kaum dan agama," katanya, merujuk kepada rusuhan kaum di London beberapa tahun lalu dan gangguan awam sejak beberapa hari lepas berpunca kejadian seorang remaja berkulit hitam yang tidak bersenjata ditembak mati di bandar Ferguson, Missouri.

Beliau mengingatkan bahawa masalah yang sama boleh berlaku di Malaysia dan jika perkara itu berlaku, apa yang telah dibina sejak negara mencapai kemerdekaan akan musnah dalam sekelip mata.

"Kita tidak boleh membiarkan kejadian itu berlaku di sini," kata Najib. 

Sementara itu, Najib yang juga presiden BN menggariskan kesederhanaan, keseimbangan, kecemerlangan dan keadilan sosial sebagai empat teras yang perlu diterapkan sebagai usaha penyatuan dalam kalangan parti komponen BN khususnya dan rakyat amnya.

"Kesederhanaan bermaksud kita mesti berusaha mencapai kecemerlangan dan dalam masa yang sama kita mesti memastikan bahawa dasar-dasar kita adalah inklusif kepada semua rakyat Malaysia," katanya.

Terdahulu, Kayveas dalam ucapan dasarnya melahirkan sokongan penuh terhadap keputusan Najib untuk mengekalkan Akta Hasutan yang menurutnya mampu menjamin keamanaan negara dan perpaduan antara kaum di Malaysia.

Perhimpunan sehari itu dihadiri 3,000 perwakilan PPP dan pemerhati dari seluruh negara.

Perwakilan akan memilih enam calon bagi jawatan Naib Presiden dan 20 Anggota Majlis Tertinggi PPP yang mana keputusannya dijangka diumumkan lewat petang ini.



Akta Hasutan, Najib Tun Razak, PPP

Artikel Lain