suria

Umno Melaka Akan Bahaskan Tiga Perkara Utama Pada Perhimpunan Agung

Idris Haron

AYER KEROH: Umno Negeri Melaka telah menetapkan tiga perkara utama untuk dibahaskan pada Perhimpunan Agung Umno 2014 yang bakal berlangsung dari 25 hingga 29 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Ia adalah mengenai pembangunan pendidikan, ekonomi serta sosial dan beberapa pembahas utama di kalangan perwakilan Pemuda, Puteri serta Wanita Umno telah ditetapkan bagi mengelak perkara yang dibahaskan bertindih.

Ketua Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ir Idris Haron menjelaskan, Perhimpunan Agung Umno merupakan satu perhimpunan yang unik dan jumlah penyertaan delegasinya yang begitu besar tidak terdapat dalam perhimpunan komuniti yang lain.

Malahan, katanya, ia merupakan perhimpunan kaum Melayu yang terbesar di negara ini.

Oleh hal yang demikian kata Idris, perhimpunan ini dilihat sebagai penentu kepada parti keramat orang Melayu untuk terus memperkuatkan barisan parti, selain membahaskan usul bagi membincangkan tentang 'survival' masa depan parti ini dan orang Melayu.

Beliau berkata, sebagai perhimpunan warisan daripada pemimpin-pemimpin akar umbi yang wujud sejak zaman sebelum kemerdekaan lagi sehinggalah kini, setiap ahli Umno mengikuti perhimpunan tersebut dengan penuh minat.

"Disebabkan itu, Umno negeri tidak pernah ketinggalan menyuarakan suara rakyat Melaka di setiap Perhimpunan Agung, malah kita memfokuskan setiap perkara yang dibahaskan dengan penuh kesungguhan bagi membela nasib rakyat di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara khas bersama pemberita selepas menghadiri Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Ketiga Belas di Seri Negeri.

"Kita harus ingat bahawa Umno negeri Melaka menjadi contoh kepada Umno negeri lain kerana kita berjaya mengekalkan dua pertiga kerusi dalam pilihan raya umum yang lepas.

"Kita tidak boleh korbankan segala apa yang kita usahakan untuk rakyat selama ini sekelip mata, dan andai kita tewas, maka kita memerlukan masa yang panjang untuk memenangi kembali kepercayaan rakyat.

"Paling penting sekali, kita tidak mahu yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran,"katanya.

Beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, turut mengingatkan ahli Umno agar tidak terus selesa dengan keadaan sekarang, dan mahu semua bersatu di bawah satu perjuangan.

"Pada masa ini, kita harus berfikir, apa yang boleh halang kita daripada kehilangan kerusi panas di negeri ini seperti di Telok Mas, Rim, Machap serta beberapa lagi kerusi, dan jika kita tersilap percaturan, kita akan hilang semuanya," jelas beliau lagi.

Ujarnya, Umno negeri juga akan turut menyokong usul untuk memperkasakan sekolah kebangsaan supaya ia menjadi pilihan rakyat pelbagai bangsa di negara ini.

"Saya berpandangan demikian kerana sekolah kebangsaan perlu diperkasakan, namun kita turut mahu mengekalkan sekolah jenis kebangsaan kerana ia adalah sebahagian daripada identiti warisan negara.

"Nilai sensitiviti amat dititikberatkan Umno dan tidak sesekali kita mahu menghapuskan sesuatu yang telah menjadi keutamaan rakyat berbilang kaum di negara ini," katanya.

Sementara itu, dari segi ekonomi, Idris berkata, ia mesti dibahagi kepada beberapa kumpulan yang berupaya untuk merakyatkan ekonomi, dan ia berdasarkan daripada aspirasi perdana menteri dalam pembentangan bajet lepas yang mahu merealisasikan Ekonomi Keperluan Rakyat (EKR) sebagai teras pembangunan ekonomi negara.

"Seperti contoh, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilaksanakan kerajaan adalah modul terbaik EKR, dan kita (kerajaan) berkongsi kenikmatan pembangunan ekonomi negara secara adil tanpa mengira fahaman, kaum dan agama.

"Namun masih ada lagi syarikat multinasional tempatan yang tidak memupuk semangat nasionalisme apabila lebih mementingkan syarikat luar negara berbanding syarikat tempatan dalam soal pemberian projek mahupun tender.

"Mereka perlu sensitif akan hal ini, kerana walaupun negara kita mempunyai syarikat yang diiktiraf dari segi kualiti serta latar belakang kewangannya, namun mereka tetap memilih syarikat luar negara sebagai pilihan utama.

"Kerajaan telah memutuskan untuk menitikberatkan keseimbangan antara ekonomi kapitalis dan EKR, namun bagaimana untuk mengadaptasi ekonomi kapitalis kepada EKR,"katanya.

Umno, Melaka, Idris Haron, PWTC

Artikel Lain