suria

Persediaan Hadapi Banjir Ditambah Baik - JKM

Abdullah Ibrahim dan isterinya, Zainon Din mengangkut barang keperluan untuk berpindah selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Binjai, Kuala Terengganu, Selasa. -fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melakukan penambahbaikan dalam persiapan menghadapi banjir tahun ini termasuk penyediaan pusat pemindahan banjir berkapasiti besar dan memperluas penggunaan bangunan kerajaan dan swasta sebagai pusat pemindahan.

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Norani Mohd Hashim berkata bangunan kerajaan seperti pusat latihan, kompleks sukan akan digunakan dan tidak lagi hanya tertumpu kepada bangunan sekolah atau dewan orang ramai sahaja.

Beliau berkata pusat pemindahan berkapasiti besar yang boleh menampung antara 2,000 hingga 5,000 mangsa dalam satu masa akan disediakan serta penggunaan bangunan milik swasta atau persendirian.

"Penggunaan gudang atau kilang sebagai pusat pemindahan merupakan salah satu langkah yang diambil dalam melaksanakan penambahbaikan dengan menggunakan bangunan yang bersesuaian di kilang tersebut seperti ruang dewan," katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Norani berkata JKM mengenal pasti sebanyak 4,961 pusat pemindahan banjir yang boleh menampung kira-kira 1,342,302 orang.

Katanya JKM juga akan menambah 10 peratus stok barangan keperluan sebagai langkah meningkatkan persediaan dan kesiapsiagaan untuk menghadapi musim tengkujuh.

Katanya pertambahan stok itu seiring dengan langkah JKM untuk memastikan stok bekalan di lima depoh di Bedong (Kedah), Sungai Buloh (Selangor), Kemumin (Kelantan), Marang (Terengganu) dan Muar (Johor) serta pertambahan bilangan pangkalan hadapan daripada 513 kepada 569 buah.

"Kerajaan akan memastikan peruntukan dan stok bekalan itu mencukupi dan bersedia untuk diagihkan," kata Norani.

Menurutnya beberapa jawatankuasa di pusat pemindahan banjir juga akan diwujudkan untuk melicinkan segala urusan iaitu jawatankuasa pendaftaran mangsa, jawatankuasa bekalan keperluan, jawatankuasa makanan, jawatankuasa kebersihan, jawatankuasa keselamatan dan kesihatan, jawatankuasa aktiviti dan jawatankuasa sukarelawan.

Artikel Lain