suria

Pendekatan Kesederhanaan Najib Dapat Pujian Anggota APEC

Hamzah Zainuddin
BEIJING: Pendekatan kesederhanaan dalam menangani keganasan global yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak 2010 mendapat pujian negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).


Perkara itu disuarakan oleh kalangan Menteri Luar Apec dalam mesyuarat di sini, Sabtu, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainudin.

Hamzah yang mewakili Malaysia pada mesyuarat itu berkata, kalangan Menteri Luar Apec menerima baik pendekatan kesederhanaan itu dan memuji langkah perdana menteri memperkenalkan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) empat tahun lalu.

Beliau berkata, ketika sesi intervensi itu, beliau telah menggesa negara anggota APEC supaya membanteras keganasan secara bersama dan bukannya bersendirian.

"Saya juga telah maklumkan dalam mesyuarat Menteri-Menteri Luar Apec pagi ini bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam mahu melihat segala maklumat dan pengalaman mestilah dikongsikan oleh semua negara dan bersifat terbuka serta saling mempunyai kepercayaan.

"Kita juga telah mempelawa negara-negara anggota Apec melalui GMM supaya sama-sama menggunakan pendekatan yang dibawa oleh Perdana Menteri ini. Ini telahpun diterima baik oleh rakan-rakan dalam mesyuarat pada pagi ini," katanya kepada wartawan Malaysia di Pusat Media, Pusat Konvensyen Nasional China (CNCC) di sini, Sabtu.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Multilateral) Kementerian Luar, Datuk Ho May Yong dan Duta Malaysia di China, Datuk Iskandar Sarudin.

Hamzah berkata, beliau juga mempelawa anggota APEC memanfatkan Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) yang ditubuhkan oleh Malaysia pada 2003 dan telah mengendalikan pelbagai kursus perkongsian pengalaman dalam mengekang aktiviti keganasan.

Menurutnya, isu menangani keganasan global yang dibangkitkannya itu mendapat sokongan dan kebanyakan negara turut mengakui bahawa keganasan adalah satu isu yang besar akhir-akhir ini.

"Melawan keganasan ini amat penting, kerana kalau tidak ia akan memberi impak yang besar kepada pertumbuhan ekonomi. Jadi, saya menegaskan bahawa jika kita tidak menangani isu ini dengan baik, akhirnya nanti ia akan menjadi satu masalah yang besar" tegas beliau.

Dasar Malaysia adalah mengutamakan kepentingan rakyat, memastikan kesinambungan pertumbuhan ekonomi untuk mengekang fahaman, ideologi dan aktiviti pengganas, kata Hamzah.

Sementara itu, Najib dijangka tiba Ahad malam untuk menghadiri Mesyuarat Para Pemimpin Ekonomi Asia Pasifik (AELM) ke-22 selama dua hari bermula Isnin di sini.


APEC, Hamzah Zainuddin, Beijing

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain