suria

Persempadanan Semula Beri Manfaat Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR: Persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu disegerakan kerana banyak kawasan telah mengalami perubahan demografi yang ketara, terutama di kawasan bandar, menurut beberapa ahli akademik.

Bagi mereka, penangguhan lebih daripada 10 tahun adalah satu tempoh yang lama dan memberi impak kepada rakyat.

Bagi Pensyarah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan berkata dalam tempoh 10 tahun banyak kawasan Parlimen dan Dewan Undang Negeri, terutama di kawasan bandar mengalami perubahan demografi ekoran pertambahan penduduk sehingga ada yang melebihi 100,000 orang.

"Bila ini berlaku, kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) itu mempunyai ramai penduduk, tetapi hanya seorang wakil rakyat (untuk memberi perkhidmatan).

"Maka ini mewujudkan keadaan di mana wakil rakyat itu tidak dapat menjalankan tugas dengan berkesan," katanya.

Azmi berkata selain itu, persempadanan semula kawasan pilihan raya akan mewujudkan lebih banyak kerusi Parlimen dan DUN yang baharu dan ini sekali gus memberi peluang pemilihan lebih ramai wakil rakyat bagi menyampaikan suara rakyat secara berkesan.

"Paling penting, SPR perlu memastikan persempadanan semula yang akan dibuat dapat membentuk jumlah kerusi Parlimen dan DUN pada angka ganjil, kerana bilangan yang genap akan menimbulkan kesukaran apabila berlaku pilihan raya atau konflik politik," katanya.

Beliau berkata SPR perlu menyegerakan persempadanan semula bagi kebaikan rakyat, memandangkan undang-undang SPR menetapkan persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu dilakukan sekurang-kurangnya lapan tahun sekali sedangkan kali terakhir proses itu dilakukan adalah pada 2003.

Sementara persempadanan semula yang sepatutnya diadakan pada 2011, telah ditangguhkan bagi memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang diadakan pada 5 Mei 2013.

Bagi pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib pula dengan adanya persempadanan semula kawasan pilihan raya, wakil rakyat akan mudah memberi fokus terhadap kawasan mereka yang mempunyai jumlah pengundi dan kawasan yang lebih kecil.

"Bila kawasan pilihan raya itu kecil, maka wakil rakyat boleh memasuki lebih banyak kampung atau pergi ke lebih banyak lokasi jumpa penduduk lebih dekat dan pantau secara komprehensif pembangunan di kawasannya.

"Di Sabah dan Sarawak misalnya, ada kawasan yang besar tapi jumlah penduduknya sedikit. Kawasan yang besar ini menyukarkan wakil rakyat untuk pergi ke segenap pelusuk," tambahnya.

Md Shukri tidak menafikan SPR berdepan cabaran sukar untuk melakukan persempadanan semula kerana kerajaan yang memerintah iaitu Barisan Nasional mempunyai kekangan mendapatkan majoriti dua pertiga sokongan di Dewan Rakyat bagi meluluskan laporan SPR bagi persempadanan semula.

Sehubungan itu, beliau berharap parti pembangkang dapat mengetepikan perbezaan politik dan menyokong persempadanan semula tersebut bagi kepentingan rakyat di negara ini.

Bagi penganalisis politik bebas Prof Dr Hoo Ke Ping jika persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak dibuat, maka akan wujud kawasan yang mempunyai lebih 150,000 pengundi dalam tempoh beberapa tahun ini.

Ke Ping mencadangkan SPR menambah antara 10 dan 15 peratus atau antara 25 dan 30 kerusi baharu untuk kawasan Parlimen bagi membuat unjuran tentang penambahan jumlah rakyat di negara ini dalam beberapa tahun akan datang.

"SPR mesti ikut prinsip yang lebih utama, satu-satu kawasan kalau boleh tidak ada lebih daripada 100,000 pengundi...jika ada mesti dipecahkan.

"Imbangan mesti dibuat bukan sahaja di bandar tapi luar bandar. Tahun depan mungkin 70 hingga 80 peratus penduduk Malaysia akan tinggal di bandar besar seperti Kota Kinabalu, Georgetown dan Ipoh," katanya.

Pada PRU13 terdapat sembilan kawasan Parlimen yang mempunyai lebih 100,000 pengundi iaitu Gombak (123,290), Selayang (105,895), Hulu Langat (127,347), Serdang (133,139), Subang (128,543), Kapar (144,159), Puchong (107,010), Kelana Jaya (101,236) dan Kota Raja (105,909) dan kesemua kawasan tersebut terletak di Selangor.

Pada masa ini, terdapat 222 kerusi Parlimen, 576 kerusi DUN dengan Sarawak mempunyai jumlah terbesar iaitu 71 DUN dan 31 Parlimen.


Parlimen, DUN

Artikel Lain