suria

Bahan Terbitan Kristian Yang Dirampas Dipulangkan Pada Khamis

Joseph Kurup.
PETALING JAYA: Kesemua bahan terbitan Kristian yang dirampas daripada paderi, Maklin Masiau akan dipulangkan semula dalam satu majlis di Kota Kinabalu pada Khamis, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup pada Rabu.

"Kami sukacita mengumumkan bahawa pejabat ini akan memulangkan semua bahan terbitan Kristian yang dirampas oleh Jabatan Kastam di KLIA2 pada 25 Oktober lalu," katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 130 buku dan tiga kotak yang mengandung 290 keping cakera padat muzik yang dirampas daripada Maklin akan dikembalikan dalam satu majlis yang dijadualkan berlangsung pada tengah hari hingga 2 petang Khamis di Hotel Magellan Sutera Harbour, Kota Kinabalu.

Selain Maklin, antara yang dijemput untuk menghantar majlis tersebut adalah Pengerusi Sidang Injil Borneo Datuk Jerry Dusing, Pengerusi Persekutuan Kristian, Datuk Dr. Thomas Tsen dan Bendahari Majlis Gereja Sabah, Ravon Jensey Mojuin.

Sementara itu, sebuah portal berita memetik setiausaha politik Kurup, Vincet Wong sebagai berkata Kurup akan membawa balik bahan terbitan yang dirampas itu ke Sabah dengan sendiri untuk diserahkan.

Laporan itu turut memetik Ketua Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Hashimah Nik Jaafar, yang berkata, kesemua bahan terbitan itu yang berada di pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di KLIA2 sedia untuk diambil.

Hashimah berkata, pihak kementerian sedang menunggu bahan terbitan itu diambil dan beliau dimaklumkan Maklin meminta bantuan Kurup berhubung kos kargo bagi penghantaran bahan tersebut ke Sabah.

Katanya, kementerian tidak mengenai sebarang caj untuk kutipan bahan tersebut.


Artikel Berikut

Artikel Lain