suria

Tempoh Jaminan Anggota Pertubuhan Haram PPS Dilanjutkan

GEORGE TOWN: Tempoh jaminan terhadap 157 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang yang berakhir pada Rabu dilanjutkan sehingga 1 Dis ini.

Sebahagian daripada mereka dilihat melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut termasuk Pengerusi PPS yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima RSN Rayer.

Rayer berkata pihaknya dimaklumkan kertas siasatan masih berada di Jabatan Peguam Negara dan penangguhan diberi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Kami tidak tahu apa yang berlaku pada masa depan tetapi yakinlah kami akan memberi sepenuh kerjasama kepada polis," katanya kepada pemberita di sini.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai berkata beliau berharap siasatan kes itu dapat diselesaikan segera memandangkan hampir 60 hari telah berlalu sejak penahanan anggota PPS pada 31 Ogos lepas.

"Dalam tempoh ini tiada pendakwaan, tiada tindakan juga tiada jawapan jelas mengenai apa yang ahli PPS akan hadapi. Jadi kami harap siasatan ini dapat disimpulkan tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata lanjutan tempoh itu adalah kali kedua selepas kali pertama surat jaminan selama 30 hari dikeluarkan 30 Sept lepas.

"Ini adalah kali terakhir polis melanjutkan tempoh jaminan kepada anggota PPS itu. Pada 1 Dis ini mereka yang terlibat diminta hadir di IPD Timur Laut untuk prosedur seterusnya," katanya ketika dihubungi.

Pada 31 Ogos lepas, sebanyak 154 anggota PPS ditahan kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan aktiviti selepas didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Ia disusuli penahanan Phee pada hari yang sama dan Rayer sehari selepas itu manakala Timbalan Pengerusi PPS merangkap Anggota Parlimen Tanjong Ng Wei Aik pada 4 Sept.

PPS

Artikel Lain