suria

Bekas Hakim Bebas Kembali Sebagai Peguam - Muhammad Shafee

Muhammad Shafee Abdullah.
PUTRAJAYA: Hakim-hakim yang bersara bebas untuk beramal dan mewakili mana-mana anak guam mereka kerana itu hak masing-masing dan tiada sekatan untuk mereka berbuat demikian.

Peguam Kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata hakim yang telah bersara bebas untuk hadir ke mahkamah selaku peguam cara atau peguam bela asalkan mereka selesa untuk mewakili anak guam masing-masing.

"Saya berpendapat itu hak asasi masing-masing, terpulang kepada mereka untuk beramal jika mereka selesa untuk berbuat demikian," katanya kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Persekutuan di sini, Rabu.

Muhammad Shafee, yang bertindak sebagai ketua pendakwa dalam kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan memang ada hakim yang tidak keberatan untuk 'turun' beramal selepas mendiami kamar hakim selama bertahun-tahun.

Beliau mengulas kenyataan media oleh sekumpulan peguam yang mendesak Majlis Peguam menyatakan pendiriannya berhubung tindakan hakim bersara yang kemudiannya menjadi peguam bela di mahkamah.

Kumpulan peguam itu mengeluarkan desakan itu berikutan keputusan Badan Peguam Malaysia yang meluluskan resolusi melarang bekas hakim yang telah bersara dari bidang kehakiman beramal.

Resolusi itu dicapai ekoran maklum balas terhadap tindakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Gopal Sri Ram yang kini kerap dilihat membawa kes-kes yang menyentuh isu perlembagaan.

Pada Selasa, Sri Ram muncul di Mahkamah Persekutuan bagi mewakili Anwar dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada 3 Julai 2013, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria berkata hakim-hakim bersara bebas untuk muncul di mahkamah mewakili anak guam mereka dan tidak kira siapa yang muncul di mahkamah, badan kehakiman akan menentukan kes berasaskan merit. 

Beliau menegaskan bahawa badan kehakiman tidak boleh menghalang bekas hakim daripada menjalankan tugas guaman dan tidak harus menyekat hak mereka untuk berbuat demikian. 

Arifin menjawab pertanyaan sama ada hakim bersara boleh muncul di mahkamah sebagai peguam, selepas merasmikan Persidangan Undang-undang dan Korporat Malaysia 2013 di Kuala Lumpur.

Artikel Lain