suria

Kempen Sentuh Anjing Kerja Orang Tiada Otak - Nik Aziz

Nik Abdul Aziz Nik Mat.
PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan penganjuran kempen 'I Want To Touch A Dog' sebagai kerja orang tiada otak.

Nik Abdul Aziz dipetik Harakah Daily sebagai berkata, penganjuran kempen itu bertentangan dengan ajaran mazhab Shafie.

"Menganjurkan kempen khususnya untuk menyentuh anjing dilakukan oleh seseorang yang dalam kepala (mereka) tiada otak," katanya selepas menghadiri majlis Sambutan Tahun Ke-24 Pentadbiran Membangun Bersama Islam Kerajaan Kelantan di Kota Baru pada Selasa.

Sementara itu,  Mohd Iqbal Parjin, ustaz jemputan pada kempen yang berlangsung di Bandar Utama itu melihat penganjurannya sebagai satu peluang untuk menyampaikan mesej Islam kepada orang Islam dan bukan Islam.

Dalam entri terbaharunya di Facebook, Mohd Iqbal berkata, beliau menerangkan mengenai prosedur mengendalikan anjing mengikut mazhab Shafie.

"Saya tidak bersetuju dengan aksi peluk, cium anjing. Umat Islam tidak dibenarkan menyentuh anjing tanpa sebab yang perlu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Selagor (Mais),  Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata kempen tersebut tidak menepati objektif program seperti dipersetujui dalam surat permohonannya.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan program berkenaan pada mulanya dianjurkan bagi memberi pencerahan atau kefahaman mengenai hukum berkaitan anjing dalam perspektif Islam.

Katanya, menerusi surat penganjur pada 3 Oktober lalu, program berkenaan dibuat untuk memberi persepsi sebenar kepada umat Islam tentang keperluan menyelamatkan anjing dalam situasi kecemasan seperti kesakitan atau terbiar.

Mohamad Adzib berkata, program itu juga dianjurkan bagi menerangkan kaedah yang mengharuskan umat Islam menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan, memegang dan mengendalikan anjing serta cara menyamaknya.

Jelasnya, bagaimanapun perlakuan memegang, memeluk dan mencium anjing oleh orang Islam dengan sengaja seperti yang berlaku pada hari tersebut amatlah dikesali dan bertentangan dengan hukum syarak.

Tambah beliau, Jabatan Mufti Selangor telah memberikan panduan kepada penganjur menerusi surat pada 9 Oktober lepas bahawa walaupun anjing banyak memberi manfaat kepada manusia, namun ia tetap haram jika sengaja disentuh oleh umat Islam dalam keadaan haiwan itu basah atau sebaliknya.

Artikel Sebelum

Polis Tak Takut - KPN

Artikel Berikut

Artikel Lain