suria

MH17: Jenazah Meling Mula Disemadikan Sabtu Ini

BINTULU: Jenazah seorang daripada mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17, Meling Mula yang akan tiba di Bintulu pada Jumaat akan disemadikan di tanah perkuburan Batu 2, Jalan Bintulu-Miri, Sabtu ini.

Isteri mendiang, Simbut Kedit berkata, sejurus selepas tiba di sini, jenazahnya akan dibawa ke kediaman mereka di Flat Sungai Plan, Tanjung Kidurong dan seterusnya ke Dewan Sungai Plan untuk urusan penghormatan terakhir.

"Saya belum lagi dimaklumkan waktu sebenar jenazah suami saya akan tiba di Lapangan Terbang Bintulu tetapi setelah menanti sekian lama saya bersyukur akhirnya jenazah dapat dibawa kembali ke Bintulu," katanya.

Simbut meminta kerjasama semua media untuk menghormati privasi keluarga apabila jenazah dibawa ke kediaman mereka dengan tidak membuat sebarang liputan di sana nanti.

"Saya memohon kerjasama media untuk menghormati privasi keluarga kami tetapi media boleh membuat liputan di Dewan Sungai Plan," katanya.

Simbut berkata, setakat ini belum ada keputusan dibuat sama ada mahu kembali ke kampung halaman sendiri atau mencari pekerjaan untuk menyara hidup.

"Tumpuan kini ialah untuk memastikan anak-anak saya terus bersekolah," katanya sambil menambah setakat ini beliau belum menerima sebarang bantuan daripada kerajaan setelah suaminya disahkan meninggal dunia.

Mendiang Meling ialah pekerja luar pantai untuk syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur dan telah bertugas dua tahun enam bulan di luar negara.

Beliau berasal dari Betong manakala Simbut berasal dari Sungai Arip Balingian mempunyai tiga orang anak iaitu Maryline Sindun, 18, Benedict Bana, 15 dan Gabriel, 8.

Pada Rabu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu kenyataan berkata jenazah Meling bersama dengan empat lagi jenazah mangsa MH17 akan tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 8.30 pagi Jumaat.

MH17, Ukraine

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain