suria

Ahli Silap Mata Harumkan Nama Malaysia Di Hollywood

Kabir Khan Mohamad Reaz.
PETALING JAYA: Ahli silap mata warga Malaysia, Kabir Khan Mohamad Reaz mengharumkan nama negara apabila mendapat tempat kedua dalam persembahan Academy of Magical Arts Summer 2014 Magic Castle’s Strolling Magic Showdown di Hollywood.

Kabir, 29, memukau juri dan penonton yang hadir ke persembahan The Magic Castle di Hollywood, kelab persendirian ekslusif untuk Akademi Seni Magik pada 17 September lalu.

The Magic Castle menampilkan beberapa penghibur terbaik dunia. Hanya yang terbaik dijemput untuk mempersembahkan bakat mereka.

Pertandingan yang diadakan dua kali setahun itu adalah persembahan popular di kelab tersebut di mana ahli silap mata yang bertanding dijemput untuk mengadakan persembahan di hadapan juri dan tetamu jemputan.

Kabir, salah seorang ahli kelab tersebut mempamerkan kemahirannya melakukan magik depan mata, seni magik yang dianggap sebagai antara yang paling sukar.

"Saya berasa bertuah kerana mewakili Malaysia dalam acara berprestij ini. Saya berharap dapat membanggakan negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Kabir, anak kelahiran Pulau Pinang tidak asing lagi di Hollywood. Pada September 2011, beliau menjadi ahli silap mata pertama yang dijemput untuk mengadakan persembahan di Hollywood dan Las Vegas.

Presiden The Magic Castle, Erica Larsen menyampaikan anugerah berserta lapel pin yang direka khas menggunakan gangsa untuk pertandingan itu kepada Kabir.

Kabir antara salah seorang ahli silap mata yang terkemuka di dunia terlibat dalam beberapa persembahan berprofil tinggi yang memukau penonton dengan persembahan unik.

Beliau mewakili satu siri jenama mewah di Los Angeles dan Las Vegas merupakan ahli silap mata pertama yang mendapat anugerah Grand Master Brand Leadership pada 2013.

Kabir turut membuat 21 persembahan di Hollywood sekali gus membolehkan beliau mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records pada tahun lalu.

Artikel Lain