suria

Kaji Pelaksanaan Saguhati Tamat Perkhidmatan - Kerajaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia menyarankan supaya formula terbaik dapat dikaji dan diperbincangkan bagi pemberian saguhati tamat perkhidmatan kepada tujuh agensi Badan Berkanun Yang Diasingkan Saraan (BBDS) dapat dilaksanakan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, kerajaan menyerahkan kepada agensi atau badan berkenaan dalam menetapkan formula mekanisme itu.

"Kalau boleh majikan perlu memikirkan formula yang terbaik. Jangan sampai pula menjejaskan kedudukan majikan atau pertumbuhan organisasi kerana kita hendak melayan kehendak pekerja dan kesatuan.

"Saya yakin kesatuan juga mempunyai pemikiran yang wajar untuk mereka meminta tanpa mendesak sesuatu yang tidak mampu daripada majikan," katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Agung Dua Tahunan Kesatuan Kakitangan Perkeso Ke-13 di sini, Isnin.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk K.Selvarajah; Presiden Kesatuan Kakitangan Perkeso, Tuan Azman Tuan Yaakob; Presiden Cuepacs, Azih Muda dan Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan.

Perdana Menteri pada Mac tahun lalu mengumumkan empat berita gembira kepada lebih 40,000 pegawai dan kakitangan tujuh Agensi BBDS seperti pemberian saguhati tamat perkhidmatan.

Tujuh badan berkanun terbabit ialah Lembaga Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Bank Simpanan Nasiona (BSN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ismail berkata, kerajaan begitu prihatin dalam memperkenalkan perkara itu kepada organisasi terbabit terutama majikan, kesatuan dan pekerja.

"Jadi, 'win-win situation' (situasi menang-menang) perlu ada. Kita akan bincangkannya untuk yang terbaik," katanya. 


Perkeso, KWSP, LTAT

Artikel Sebelum

Artikel Lain