suria

Jangan Pandang Negatif Terhadap Kastam

KUALA LUMPUR: Rakyat digesa tidak memandang negatif terhadap Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berikutan penahanan 12 pegawai Kastam pelbagai pangkat dua hari lepas, dipercayai terbabit kes rasuah.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata penangkapan itu tidak bermakna seluruh Jabatan Kastam tidak betul dalam menjalankan tugas seterusnya dilabel tidak berkredibiliti.

"Tidak wajar untuk melabelkan jabatan tersebut dengan persepsi negatif hanya kerana sebilangan daripada ribuan warga Kastam terlibat kes rasuah, memandangkan jabatan tersebut memberi khidmat yang besar terhadap negara.

"Kes ini melibatkan sebilangan kecil, tambahan pula kastam telah memberikan sumbangan besar terhadap negara melalui kutipan RM36 bilion setahun yang memanfaatkan rakyat melalui pelbagai program yang dijalankan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kembara Lensa Murni 2014 anjuran Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) di sini, Jumaat.

Namun beliau memberikan jaminan bahawa pihak kementerian akan memastikan kesalahan melibatkan rasuah ditangani sebaik mungkin dan akan memberi kerjasama kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kementerian Kewangan dan SPRM tidak akan melindungi mereka yang terlibat dalam gejala rasuah atau salah laku kewangan, malah individu yang bersalah perlu diberi hukuman yang sepatutnya manakala yang tidak bersalah dilepaskan," katanya.

Dalam masa sama, Ahmad berharap insiden itu tidak akan menjejaskan semangat seluruh pegawai dan kakitangan JKDM bagi melaksanakan tugas yang telah diamanahkan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Dua hari lepas, SPRM menahan 12 pegawai Kastam termasuk seorang Pengarah Kastam negeri yang disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan arak dan rokok di Zon Bebas Cukai Pelabuhan Klang (PKFZ). SPRM turut menahan 12 anggota sindiket itu.

Tangkapan itu dibuat susulan pemantauan selama lebih setahun terhadap sindiket penyeludupan barang-barang di Lembah Klang, yang mengelak daripada membayar duti kastam melibatkan lebih RM1 bilion.

Akibat tindakan itu kerajaan dipercayai mengalami kerugian lebih RM2 bilion.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain