suria

Istana Selangor Sahkan PAS Hantar Tiga Nama Calon MB

SHAH ALAM: Istana Selangor pada Jumaat mengesahkan PAS menghantar tiga nama untuk dipertimbangkan sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu.

Bagaimanapun sumber dari Istana, ketika dihubungi Bernama, tidak mendedahkan nama calon-calon berkenaan.

Perkara itu turut diakui sumber terdekat kerajaan negeri bahawa PAS telah menghantar tiga nama kepada pihak Istana.

"Urusan surat-menyurat mengenai nama calon itu juga dikendalikan secara peribadi oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah," kata sumber itu.

Akhbar JUmaat melaporkan PAS dikatakan menghantar tiga nama anggota Exco kerajaan negeri Selangor daripada parti itu sebagai calon untuk jawatan tertinggi pentadbiran Selangor.

Tiga calon yang dilaporkan ialah Iskandar Abdul Samad, Sallehen Mukhyi dan Dr Ahmad Yunus Hairi. Bagaimanapun ketiga-tiga mereka mendakwa tidak tahu menahu mengenai perkara itu. 

Pada 26 Ogos lepas, Sultan Selangor bertitah agar parti-parti dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP, PKR dan PAS mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baharu.

Baginda bertitah demikian selepas menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sehingga proses pelantikan menteri besar baharu selesai.

PKR dan DAP bagaimanapun sehingga kini kekal dengan keputusan mereka mahukan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal menteri besar yang baharu.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata pihaknya tidak mengetahui sama ada nama Dr Wan Azizah dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak terkandung dalam senarai nama menteri besar yang telah dihantar itu.

"Kami, ahli jawatankuasa PAS Pusat tidak tahu menahu akan nama baharu ini kerana ia tidak diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 17 Ogos lepas," katanya dalam kenyataan Jumaat.

Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri Ijok daripada PKR, Dr Idris Ahmad enggan mengulas ketika ditanya sama ada namanya turut disenaraikan oleh PAS sebagai calon menteri besar yang baharu.

Istana Selangor, PAS, PKR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain