suria

Piala Malaysia: Lima Pelajar Didakwa Terlibat Rusuhan Di Stadium Negeri

Kenderaan terbakar akibat tindakan penonton yang merusuh selepas perlawanan Piala Malaysia di Stadium Negeri Sarawak, baru-baru ini.
KUCHING: Dua penuntut institusi pengajian tinggi dan tiga pelajar sekolah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Khamis kerana  terlibat dalam rusuhan di Stadium Negeri di sini selepas perlawanan Piala Malaysia, Sabtu lepas.


Kelima-lima mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Portia Tham Ong Leng.

Mereka didakwa terlibat dalam rusuhan di Stadium Negeri selepas perlawanan bola sepak Piala Malaysia antara Sarawak dan Perak pada 30 Ogos lepas, mengikut Seksyen 151 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret membenarkan mereka diikat jamin RM10,000 seorang dan ibu bapa mereka sebagai penjamin dan mengarahkan kesemua tertuduh melaporkan diri di Unit D4 Jabatan Siasatan Jenayah di sini pada Sabtu setiap minggu sehingga kes selesai.

Menurut fakta kes, kelima-lima tertuduh ditahan oleh pihak polis di jarak lebih kurang 30 hingga 40 meter dari lokasi rusuhan kerana enggan bersurai walaupun amaran bersurai telah dikeluarkan beberapa kali.

Mahkamah menetapkan 18 dan 19 Nov sebagai tarikh perbicaraan manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Austin Patrick Angkon.


rusuhan, Stadium Negeri, bola sepak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain