suria

Kerajaan Kekal Komited Terhadap Falsafah 1Malaysia

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis memberi jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan kekal komited terhadap falsafah 1Malaysia dan akan memastikan setiap warganegara ada tempat di bumi Malaysia.

Beliau berkata perpaduan negara merupakan teras paling penting untuk negara mencapai keamanan, kemakmuran dan kestabilan yang telah menyumbang kepada kemajuan pesat yang telah dicapai negara sejak beberapa dekad lepas dan masa akan datang.

"Sebagai sebuah negara, kita perlu saling bekerjasama dan menerima perbezaan kita demi masa depan negara. Kita perlu terus menghormati perbezaan kita dan mempertahankan cara hidup kita.

"Majoriti rakyat Malaysia yang mengamalkan kesederhanaan dan membisu selama ini perlu lantang bersuara untuk didengari," katanya dalam perutusan khas kepada peserta Forum Perpaduan Negara di sini Khamis.

Bertema 'Memperkukuh Suara Kesederhanaan, Bersama-sama Bergerak Ke Hadapan', forum sehari itu dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI). 

Najib juga berkata untuk memastikan perpaduan negara berkekalan, rakyat Malaysia perlu mendukung Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

"Dalam menyambut Hari Merdeka dan Hari Malaysia, mari kita bersama-sama bersatu sebagai satu negara, 1Malaysia," katanya.

Beliau turut memuji ASLI yang menganjurkan forum itu, yang beliau sifatkan sebagai "tepat pada masanya" kerana Malaysia baru sahaja menyambut ulang tahun Kemerdekaan ke-57.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain