suria

Kad Kuasa 'Perisik' KDN Palsu - Bakri Zinin

Mohd Bakri Mohd Zinin
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan Kementerian Dalam Negara (KDN) mengeluarkan kad kuasa 'perisik' cawangan khas untuk aktiviti penguatkuasaan kementerian terbabit.


Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin turut menyifatkan kad kuasa itu sebagai dokumen palsu.

"Kad itu palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh KDN. Jadi kita nasihatkan orang ramai supaya berhati-hati kerana penggunaan kad palsu itu mampu mengaburi mata sesiapa saja.

"Tindakan tersebut juga mampu menjejaskan kementerian kita (KDN) dalam semua aspek," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) di Dewan Banquet, Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, Khamis.

Beliau mengulas penahanan seorang lelaki yang disyaki menggunakan kad kuasa 'perisik' KDN di Melaka, dua hari lalu.

Kata Mohd Bakri lagi, pengeluaran kad tersebut dipercayai digunakan untuk tujuan peribadi suspek terbabit.

Ditanya sama ada kes itu melibatkan orang kenamaan atau VIP, beliau berkata, setakat ini siasatan masih berjalan dan pihaknya  akan meneliti setiap aspek.

Pada Selasa lalu, polis Melaka memanggil seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pemilikan kad kuasa 'perisik' KDN.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, lelaki berusia 30 tahun yang bekerja di sebuah hotel di negeri itu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah pada 11 malam, 31 Ogos lepas.

Beliau berkata, polis turut merampas satu kad kuasa Unit Risikan Khas KDN yang mempamerkan jawatan perisik dipercayai diterima daripada seorang kakitangan KDN berusia 34 tahun.

"Lelaki terbabit mengaku memperoleh kad itu daripada rakannya yang bekerja di kementerian tersebut pada April lepas," kata Raja Shahrom.

Artikel Sebelum

Artikel Lain