suria

Risiko Denggi, Enam Tapak Pembinaan Projek HKL Diarah Tutup

Fadillah (dua, kiri) memeriksa kabel di tapak projek letak kereta bertingkat ketika lawatan ke tapak projek seliaan JRK, bagi menaik taraf Hospital Kuala Lumpur di Jalan Pahang, Kuala Lumpur pada Selasa.-fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Enam tapak pembinaan di kawasan projek menaik taraf Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini diarah menghentikan kerja-kerja pembinaan selama tujuh hari bermula Rabu berikutan berisiko menjadi sarang pembiakan jentik-jentik yang boleh membawa wabak denggi. 

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan mengeluarkan arahan henti kerja kepada kontraktor berkenaan, Johawki Sdn Bhd, dan meminta syarikat itu menjalankan kerja-kerja pembersihan di tapak binaan itu.

"Dalam tempoh tujuh hari itu, kontraktor itu perlu membersihkan tapak berkenaan dan semua kerja-kerja pembinaan perlu dihentikan sementara waktu," katanya dalam sidang media selepas memerikasa dan meninjau tapak projek naik taraf HKL itu, Selasa.

Pemeriksaan secara bersepadu itu yang melibatkan Lembaga Pembangunan Indsutri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Imigresen, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lembaga Arkitek, Lembaga Jurutera, dan Lembaga Juruukur Bahan antara lain bertujuan memastikan pematuhan peraturan berkaitan pembinaan.

Pihak berkenaan turut melakukan operasi Pemeriksaan Pencegahan Aedes di Tapak Bina bersama Jabatan Kesihatan dan CIDB di seluruh negara dan sudah memeriksa 304 tapak bagi tempoh Mac hingga Ogos tahun ini. 

Fadillah berkata kementerian menyedari tapak pembinaan adalah antara kawasan yang sering menyumbang kepada masalah denggi.

Justeru itu, katanya operasi penguatkuasaan terutama di kawasan titik panas pembiakan aedes seperti di Selangor, Kuala Lumpur dan Kelantan akan dipergiatkan. 

Projek menaik taraf HKL fasa dua itu bermula Mei tahun lepas dan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion bagi menjadikan HKL sebagai hospital primer.

Ia dijangka siap sepenuhnya pada 2017.

Kerja-kerja menaik taraf fasa satu yang melibatkan pengubahsuaian lobi utama, wad 26 dan wad 27 telah siap pada Julai 2012.


Fadillah Yusof, HKL, tutup

Artikel Lain