Tangisan Anak Iringi Pemergian Pramugari MH17 - Semasa | mStar

Tangisan Anak Iringi Pemergian Pramugari MH17

Muhriz Marzaidi menangis disisi keranda ibunya.-fotoBERNAMA
SEREMBAN: Anak tunggal kepada pramugari pesawat MH17 tidak dapat menahan kesedihan di sisi keranda ibunya yang ditempatkan di Masjid At-Taqwa, Kampung Paroi di sini sebelum jenazah Mastura Mustafa disolat dan
dikebumikan.

Muhriz Marzaidi, 10, duduk di tepi keranda ibunya dan menangis teresak-esak sambil mengesat air mata.

Dia kemudiannya dipujuk dan dibawa keluar dari ruang jenazah ibunya ditempatkan.

Inilah antara detik hiba yang menyelubungi apabila jenazah Allahyarham Mastura tiba kira-kira 12.40 tengah hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Jumaat.

Jenazah kemudiannya ditempatkan di ruang khas di dalam masjid untuk orang ramai memberi penghormatan sebelum solat Jumaat.

Bapa Allahyarham, Mustafa Abdul Samad, 83, anggota keluarga dan saudara mara Allahyarham turut hadir.

Selesai solat Jumaat dan diikuti solat jenazah, van yang membawa jenazah Allahyarham beredar ke Tanah Perkuburan Islam Paroi, berhampiran Stadium Tuanku Abdul Rahman.

Suasana hiba terus dirasai di tanah perkuburan sebaik ketibaan jenazah Allahyarham untuk disemadikan buat kali terakhir.

Jenazah Allahyarham adalah antara 20 jenazah mangsa pesawat MH17 warga Malaysia yang dibawa pulang dari Amsterdam hari ini.

Allahyarham merupakan antara 298 penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines tersebut yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Ketika itu pesawat dalam perjalanan dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur.
MH17 , Mastura Mustafa , MAS

Artikel Sebelum

Perodua Kancil Jadi Rumah Tiga Beranak

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Sufi selamat bergelar suami Nurulain