Jenazah Ketua Pramugari MH17 Dikebumi Pada Hari Jadi Anak Sulung

Aqif Raqif, 6, (kiri) dan adiknya, Arissa Raisya,3, (dua, kanan) bersama nenek Habibah Ismail, 68 (kanan) menyirami pusara ibu mereka, Ketua Pramugari MH17, Azrina Yakob di tanah perkuburan Masjid Al-Hidayah Jalan Muazaffar Shah, Assam Kumbang di Taiping, Jumaat. Foto BERNAMA

TAIPING: "Bonda 'fly', kapal terbang meletup" - itulah ungkapan yang keluar daripada mulut comel Aqil Raif Mohd Raflis, 6, anak sulung Ketua Pramugari Azrina Yakob yang menjadi mangsa dalam tragedi pesawat MH17.

Lebih menyayat hati, anak kecil itu menyambut ulang tahun kelahirannya pada Jumaat, yang merupakan hari pengebumian jenazah ibu tercinta.

Sepupu rapat Allahyarham yang ingin dikenali sebagai Kak Chik Rose, 51, berkata setiap kali ditanya mengenai Azrina, itulah jawapan yang diberikan Aqil Raif.

"Walaupun masih kecil untuk mengerti apa yang terjadi (kepada Azrina) namun anak kecil ini agak faham dengan apa yang berlaku," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Bapa Azrina, Yaakob Silam Sudin, 73, pula melahirkan rasa lega apabila anak perempuannya itu 'selamat sampai' dan dikebumikan di sini.

Beliau berkata, jenazah Azrina, anak kedua daripada empat beradik, dikebumikan di sini supaya sentiasa berdekatan dengan Aqil Raif dan adiknya, dan Arissa Raisha, 3, yang kini dijaga suami Allahyarham iaitu Mohd Raflis Mohd Tahir, 43.

Bagi ibu Azrina, Habibah Ismail, 65, seluruh anggota keluarganya amat menghargai kerjasama semua pihak bermula daripada usaha membawa jenazah Allahyarham pulang sehinggalah upacara pengebumian selesai.

"Kini semuanya sudah selesai. Makcik akan berada di sini selama tiga hari untuk tahlil sebelum pulang ke Alor Setar," katanya.

Ketika pengebumian berlangsung, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa menyerahkan Jalur Gemilang kepada Habibah sebagai tanda penghormatan sambil disaksikan seluruh anggota keluarganya.

Meskipun hujan renyai-renyai ketika upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Masjid Al-Hidayah, Jalan Muzaffar Shah, Assam Kumbang di sini, orang ramai yang berada di situ tidak berganjak sehinggalah talkin selesai dibacakan.

Terdahulu, Raja Jaafar berkenan berangkat ke Lapangan Terbang Tekah di Assam Kumbang di sini bagi menyambut ketibaan jenazah Azrina yang diterbangkan oleh Helikopter EC725 pada 12.34 tengah hari.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Al-Hidayah untuk disembahyangkan selepas selesai solat Jumaat.

Allahyarham mula berkhidmat sebagai pramugari di Penerbangan Malaysia (MAS) pada 1992. 

Penerbangan MH17, yang membawa 289 penumpang termasuk 15 anak kapal, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di timur Ukraine, pada 17 Julai lepas.

Ia dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan

Klik

Tak ada idea nak masak apa? Ini 5 program memasak menarik untuk anda tune in, no.2 paling kecoh!

LIMA program masakan terbaik yang boleh anda tonton secara streaming di Astro GO

Semuanya di hujung jari anda... bawakan senyuman buat mereka yang kurang bernasib baik, itulah kempen Raya HLB

HONG Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (HLB atau Bank) memperkenalkan kempen 'Jauh Di Mata, Dekat Di Hati' sebagai salah satu usaha membantu golongan kurang bernasib baik.

Check-out seleksi menyegarkan, menambah nikmatnya tradisi iftar... Kombo Cool Kathira, Cool Bandung memang berbaloi!

COOLBLOG Tradisi Cool Ramadan tampil dengan seleksi minuman Cool Kathira dan Cool Bandung.

Sedih tak dapat beraya di kampung? Jom hidupkan suasana raya, menu Syawal boleh dihidang di mana-mana... Pek Ceria Raya kan ada!

TAK dapat balik kampung! Barangkali begitulah yang luahan dan keluhan kebanyakan kita yang menyambut 1 Syawal kali ini.

Jom senyum bersama tersayang sambil menonton banyak pilihan prabayar sepanjang Ramadan, Syawal... hanya di NJOI Prepaid!

TIGA pilihan pek baharu bersama 16 saluran ala-carte untuk pelanggan NJOI sepanjang Syawal ini.

Artikel Lain