suria

Renjer Ditemui Selamat Selepas Hilang Lebih 24 Jam

DUNGUN: Seorang renjer di Pejabat Renjer Hutan Dungun yang dikhuatiri hilang lebih 24 jam, selepas memasuki Hutan Simpan Rasau Kertih, dekat sini, ditemui selamat, pada Selasa.

Rani Jusoh, 58, ditemui dalam keadaan keletihan oleh penduduk kampung berhampiran sebuah kawasan kebun, kira-kira pukul 5 petang Selasa.

Seorang penduduk, Abd Hamid Abdul Ghani, 50, berkata beliau menemui mangsa ketika sedang dalam perjalanan ke kawasan kebunnya di Bukit Lumut, Kerteh 5, di sini.

"Saya terlihat kelibat mangsa dalam keadaan keletihan dan kesejukan. Saya bertanyakan mangsa, namun mangsa tidak banyak bercakap sebaliknya memberitahu beliau kelaparan sebelum saya membawanya makan di sebuah kedai kira-kira satu kilometer," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Pada Isnin, mangsa bersama empat rakan setugasnya masuk ke kawasan hutan terbabit untuk menjalankan tugas, pada kira-kira 8 pagi.

Namun, ketika bersiap-siap hendak keluar daripada hutan berkenaan, pada 3.10 petang, rakannya mendapati mangsa hilang dan selepas mencari di sekitar kawasan hutan terbabit, laporan kehilangan mangsa dibuat kepada pegawai atasan sebelum operasi mencari mangsa digerakkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan penemuan mangsa.

Katanya, sebanyak 63 anggota polis, bomba, Renjer, Jabatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung diketuai Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Mohd Zain Mohd Dris melancarkan gerakan mencari dan menyelamatkan mangsa sejak pagi Selasa.

"Syukur mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan gerakan mencari mangsa dihentikan," kata Ahmad Zailani.
hilang, renjer

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain