suria

Muhyiddin Lontar Cabaran Kepada Umno Bahagian Kemuka Faktor Wow

Muhyiddin diringi Daeng A Malik (kanan) ketika memeriksa perbarisan wanita, pemuda dan puteri umno ketika menghadiri perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Kota Tinggi di dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Kota Tinggi di sini, Sabtu.
KOTA TINGGI: Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin melontar cabaran kepada semua bahagian parti untuk mengemukakan idea yang luar biasa sebagai usaha memastikan perjuangan parti terus relevan dan diterima rakyat negara ini.

Serius dengan cabaran itu, beliau menawarkan hadiah wang tunai RM10, 000 kepada bahagian yang berjaya memberikan idea yang mempunyai faktor 'Wow'.

"Setiap bahagian perlu menubuhkan jawatankuasa khas bagi memikirkan secara serius idea idea yang mempunyai faktor Wow itu.

"Satu jawatankuasa akan ditubuhkan di peringkat Majlis Tertinggi bagi menilai sama ada idea itu mempunyai faktor Wow dan boleh dilaksanakan," katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Tinggi di sini, Sabtu.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Bahagian Kota Tinggi Datuk Daeng Malek Daeng A Rahman.

Muhyiddin berkata, Umno mahukan idea-idea baharu kerana rakyat masa kini meletakkan jangkaan yang sangat tinggi terhadap parti dan kerajaan.

Ditanya mengapa idea itu diperlukan sekarang, Muhyiddin berkata banyak yang telah dibuat oleh kerajaan seperti pembangunan ekonomi dan sebagainya namun, ia dilihat seperti tidak mempunyai nilai yang besar oleh rakyat.

"Mereka iktiraf (pembangunan) tetapi (ia) dilihat sebagai perkara biasa," katanya.

Mengakui negara mempunyai masalah dan isu tertentu seperti negara-negara lain, beliau berkata:"Setidak-tidaknya kerajaan masih dapat mewujudkan negara yang stabil, harmoni, mempunyai pertumbuhan dan peluang pekerjaan."

Timbalan Presiden Umno, Wow

Artikel Lain